Muhammad Sanusi Md Nor.
Kedudukan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang dipecat daripada Parti Bersatu hanya akan diputuskan selepas menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri tidak akan terburu-buru membuat keputusan terhadap ADUN Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan ADUN Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis yang dipecat parti berkuat kuasa serta-merta pada Jumaat.
Menurut beliau, semua tindakan berkaitan jawatan Exco dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu mengikut proses pentadbiran serta mendapat perkenan Sultan Kedah terlebih dahulu.
“Segala tindakan perlu ikut proses pentadbiran. Kita akan bincang secara terperinci dan sembah maklum kepada Tuanku Sultan sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya dipetik laporan media.
Beliau turut menjelaskan kedua-dua wakil rakyat itu kini berstatus ADUN Bebas, namun masih menyokong kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional (PN).
Dzowahir sebelum ini memegang portfolio Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, manakala Abdul Razak pula merupakan Timbalan Speaker DUN Kedah.
Sanusi berkata kerajaan negeri sebenarnya sudah menerima surat daripada Bersatu sebelum ini yang meminta pertukaran jawatan kedua-dua pemimpin terbabit.
Bagaimanapun, tiada tindakan diambil ketika itu kerana mereka masih menjadi ahli parti.
Katanya, perkara berkenaan turut dibincangkan ketika Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung parti, Mohamed Azmin Ali hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kubang Rotan dan Bersatu Kedah pada 10 April lalu.
“Ketika itu mereka belum dikenakan tindakan oleh parti, jadi tiada sebab untuk menggantikan mereka,” katanya.
Pada Jumaat, Bersatu menerusi notis yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Mohd Radzi Manan mengumumkan pemecatan Dzowahir dan Abdul Razak atas alasan pelanggaran disiplin parti.
DAP sokong cadangan bubar DUN Negeri Sembilan
Isu agama dan kaum dimainkan Akmal beri beban kepada kerajaan: Rafizi
Rafizi berisiko kalah kerusi Pandan sama seperti di Gombak: AMK Pulau Pinang
AMK desak wakil rakyat PKR jelaskan kehadiran semasa program Rafizi
Tengku Zafrul diberi peranan baharu jaga kerusi Parlimen Pandan: Amiruddin
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi