Isu nahas MH17 dibangkitkan semasa bertemu Putin: PMX

May 15, 2025 · Isu semasa

Isu nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 dibangkitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa pertemuan dengan rakan sejawatnya, Presiden Rusia Vladimir Putin.

Jelas Anwar, kesempatan semasa pertemuan dua mata dengan Putin semalam digunakan untuk membincangkan isu insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014.

“Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala,” katanya kepada media Malaysia yang mengikuti lawatan rasmi beliau ke Rusia di Moscow.

Anwar diminta mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung penemuan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bahawa Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Ukraine pada 2014.

Menurut laporan ICAO, pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia semasa terbang melintasi timur Ukraine.

Ketika itu berlakunya pertempuran di antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

Perdana Menteri berkata Putin mendengar dengan meneliti perkara yang dibangkitkan sebelum menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Anwar berkata Presiden Rusia itu menegaskan bahawa dia menuntut supaya siasatan rapi dan menyeluruh dijalankan selain isu tersebut tidak dipolitikkan.

Putin berkata sejak awal lagi Moscow memohon supaya siasatan berhubung perkara itu harus bebas dan teliti, selain menegaskan bahawa Rusia sedia memberikan kerjasama untuk memastikan laporan tersebut lebih berwibawa.

Anwar berkata dia akan menjelaskan kepada keluarga mangsa berhubung maklum balas yang diberikan oleh Putin.

“Cuma yang saya dapat pastikan ialah beliau kata tidak benar kalau beliau tidak sedia untuk memberikan kerjasama, tetapi beliau tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana badan yang beliau atau Rusia anggap sebagai tidak bebas,” katanya.

Pada Isnin lalu, ICAO – sebuah majlis penerbangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu – memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab dalam insiden yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu.

Menurut laporan itu, ICAO akan mempertimbang bentuk pampasan yang sesuai dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Pada Nov 2022, Mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki warga Rusia dan seorang lelaki warga Ukraine secara ‘in absentia’ dengan kesalahan membunuh kerana peranan mereka dalam serangan itu.

Anwar tiba di Moscow untuk lawatan rasmi empat hari bermula 13 Mei dan akan meneruskan segmen kedua lawatan dengan berkunjung ke Kazan, Tatarstan pada 15 Mei.

Lawatan itu adalah atas undangan Putin.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat tertutup sebelum Anwar menghadiri majlis makan tengah hari dan mengadakan mesyuarat bersama delegasi kedua-dua negara. – Bernama

Berita berkaitan
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
September 20, 2026· Isu semasa
Pengampunan Najib: Anwar dedah apa yang dibincangkan dengan Agong
September 20, 2026· Politik
Isu letak jawatan: Anwar mahu jumpa Loke selepas pulang dari Shanghai
September 20, 2026· Politik
Pengampunan Najib: PH tegaskan tiada siapa mengatasi undang-undang
September 18, 2026· Politik
Lagi Isu semasa terkini
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
12 jam lalu · Isu semasa
Lawatan Anwar ke Shanghai perkukuh hubungan Malaysia-China
12 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat video pementasan 2018 yang kembali tular
12 jam lalu · Isu semasa
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
16 jam lalu · Isu semasa
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
September 20, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok