Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Pengguna media sosial di Malaysia bakal diwajibkan memuat naik dokumen rasmi seperti kad pengenalan atau pasport bagi mengesahkan umur mereka susulan pelaksanaan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) bermula 1 Jun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata langkah itu diperkenalkan bagi memastikan pengguna bawah usia 16 tahun tidak dapat membuka akaun media sosial secara bebas.
Menurut beliau, kaedah pengesahan umur melalui dokumen rasmi lebih berkesan berbanding sistem pengisytiharan sendiri yang mudah dimanipulasi pengguna.
“Pengguna perlu mengesahkan umur menggunakan dokumen yang dikeluarkan kerajaan seperti kad pengenalan, pasport atau dokumen rasmi lain. Kalau sekadar isytihar sendiri, sesiapa sahaja boleh klik dan mengaku mereka berumur lebih 18 tahun,” katanya dipetik laporan media selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Kuching.
Dua kod baharu yang diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC).
Kedua-duanya bertujuan meningkatkan keselamatan pengguna internet terutama golongan kanak-kanak daripada risiko jenayah siber, kandungan berbahaya dan eksploitasi dalam talian.
Kerajaan sebelum ini memutuskan kanak-kanak di bawah usia 16 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun media sosial bagi platform yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia, termasuk TikTok, Facebook dan Instagram.
Nie Ching berkata, MCMC tidak menetapkan teknologi khusus untuk digunakan platform media sosial dalam melaksanakan sistem pengesahan umur itu.
Namun, platform terbabit diberikan tempoh munasabah untuk mematuhi peraturan baharu sebelum penguatkuasaan dijalankan.
Beliau turut menjelaskan akaun sedia ada yang gagal membuat pengesahan umur mungkin akan ditutup atau dipantau menggunakan teknologi kecerdasan buatan bagi memastikan pengguna memenuhi syarat umur minimum.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan sebanyak 23,367 kes penipuan dalam talian direkodkan antara Januari hingga April tahun ini melibatkan kerugian RM680.3 juta.
Katanya, sejak Kempen Internet Selamat dilancarkan pada Januari 2025, lebih 11,000 program kesedaran telah dianjurkan di seluruh negara dengan penyertaan lebih 1.8 juta rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Malaysia gesa perjanjian damai AS-Iran dipercepat: PMX
Dana RM5 juta galak belia hasilkan karya kreatif, boleh mohon 1 Jun: Fahmi
FOMCA gesa harga barang dipantau selepas subsidi diesel diperluas
Tolak politik kebencian, Anwar seru rakyat pertahan perpaduan
Ahli politik tergelincir daripada perjuangan paling banyak mengeluh: PMX
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi