FOMCA menggesa kerajaan memperketat pemantauan harga barang keperluan dan penguatkuasaan pasaran.
Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan memperketat pemantauan harga barang keperluan dan penguatkuasaan pasaran susulan peluasan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang bakal berkuat kuasa bulan depan.
FOMCA berkata langkah kerajaan memperluaskan subsidi diesel kepada kenderaan jenis jip dan pikap di seluruh negara sememangnya mampu membantu mengurangkan kos pengangkutan dan logistik, namun pengguna belum tentu menikmati penurunan harga barang secara automatik.
“Kos bahan api dan logistik merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan. Pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan perlu bagi memastikan penjimatan kos diterjemahkan kepada harga runcit yang lebih rendah dan bukannya diserap sebagai keuntungan tambahan oleh pihak tertentu,” menurut kenyataan FOMCA hari ini.
Sebelum ini, kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan subsidi disasarkan kepada pihak yang benar-benar layak.
Di bawah penambahbaikan SKDS, syarikat yang memiliki kenderaan jip dan pikap untuk tujuan pengangkutan darat kini dibenarkan mendaftar dalam sistem itu bermula 1 Jun.
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, manfaat subsidi diesel turut diperluaskan kepada kenderaan tertentu yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada syarat pendaftaran syarikat dan proses pertukaran hak milik.
FOMCA menyifatkan keputusan itu sebagai langkah tepat pada masanya ketika kos logistik terus memberi kesan langsung terhadap harga makanan, hasil pertanian dan barangan harian yang ditanggung rakyat.
Persatuan pengguna itu turut menghargai usaha kerajaan dalam menangani peningkatan kos sara hidup ketika ekonomi dunia masih berdepan ketidaktentuan akibat konflik geopolitik dan kenaikan harga minyak mentah serta komoditi global.
Bagaimanapun, FOMCA menegaskan keberkesanan subsidi itu hanya dapat dirasai sepenuhnya sekiranya terdapat pemantauan berterusan terhadap harga pasaran dan tindakan tegas terhadap pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah.
MCMC arah turunkan lebih 271,000 kandungan scam dan judi online
MCMC perkukuh kerjasama banteras scam dalam talian dengan GASA: Fahmi
Banyak akaun palsu digunakan untuk hasilkan kandungan 3R: Fahmi
Malaysia gesa perjanjian damai AS-Iran dipercepat: PMX
FINAS, TikTok Malaysia lancar Program Belia Kreatif
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan