Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Kewujudan akaun palsu dikenal pasti menjadi antara punca utama penyebaran kandungan berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R) di media sosial yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kerajaan berpandangan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) masih mencukupi untuk menangani isu berkenaan, namun cabaran terbesar ialah taktik individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan akaun palsu untuk mengelakkan tindakan undang-undang.
“Kita nampak banyak akaun palsu dicipta khusus untuk menghasilkan kandungan 3R. Selepas kandungan disebarkan, akaun itu terus ditutup. Ada elemen jenayah dan sikap ‘baling batu sembunyi tangan’,” katanya selepas Majlis Pelancaran Belia Kreatif Komuniti MADANI sempena Hari Belia Negara 2026, hari ini.
Menurut Fahmi, kerajaan turut memantau akaun palsu yang menggunakan nama serta imej Raja-Raja Melayu dan kerabat diraja untuk tujuan penyamaran dan penyebaran maklumat tidak sahih.
Katanya, syarikat pengendali platform media sosial perlu memainkan peranan lebih agresif dalam membanteras akaun palsu dan penyamar yang semakin berleluasa di platform masing-masing.
“Kita lihat platform-platform ini perlu menyatakan langkah yang akan mereka ambil untuk mengurangkan insiden bersifat 3R,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan dua kod khusus berkaitan keselamatan kanak-kanak dalam talian telah diterbitkan pada 22 Mei lalu bagi memastikan platform media sosial mematuhi garis panduan yang lebih ketat.
Beliau turut berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menilai tahap kerjasama syarikat media sosial dalam menangani penyebaran kandungan berbahaya.
“Ada yang telah menerima notis tuntutan daripada MCMC seperti TikTok, manakala ada yang memberi kerjasama baik seperti Meta,” katanya.
Isu penyalahgunaan media sosial termasuk penyebaran kandungan 3R menjadi perhatian kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan peningkatan kandungan sensitif yang boleh menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan kestabilan negara.
Malaysia gesa perjanjian damai AS-Iran dipercepat: PMX
FOMCA gesa harga barang dipantau selepas subsidi diesel diperluas
Pengesahan umur pengguna akaun media sosial akan diwajibkan: Nie Ching
Tolak politik kebencian, Anwar seru rakyat pertahan perpaduan
Ahli politik tergelincir daripada perjuangan paling banyak mengeluh: PMX
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi