Parti Bersatu.
Parti Bersatu Malaysia tampil mempertahankan pendirian parti itu susulan kenyataan terbuka Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang membangkitkan beberapa isu berkaitan hubungan kedua-dua parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Dalam kenyataan Biro Politik Bersatu, parti itu menegaskan semua perkara yang dibangkitkan sepatutnya diselesaikan melalui meja rundingan dalaman, bukannya secara terbuka sehingga menimbulkan salah faham terhadap parti komponen PN.
Antara isu disentuh ialah pertukaran Menteri Besar Perlis, kekuatan jentera pilihan raya Bersatu, tindakan disiplin terhadap ahli parti dan kemelut politik di Negeri Sembilan.
Menurut Bersatu, pelantikan Menteri Besar Perlis adalah kuasa mutlak Raja Perlis dan parti itu hanya menjunjung titah baginda sepanjang krisis politik negeri tersebut.
Bersatu turut menafikan dakwaan ADUN parti itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar daripada PAS.
“Bersatu menjunjung titah Tuanku dan menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Raja Perlis untuk menentukan calon Menteri Besar mengikut lunas undang-undang negeri,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut hadir ketika hubungan antara PAS dan Bersatu dilihat semakin tegang selepas beberapa isu dalaman PN dibangkitkan secara terbuka, kebelakangan ini.
PN yang dibentuk pada 2020 sebelum ini sering menampilkan imej kesepakatan dalam kalangan parti komponennya.
Dalam isu kekuatan parti, Bersatu menolak dakwaan hanya mempunyai ramai calon tetapi lemah dari segi jentera pilihan raya.
Parti itu mendakwa menerima ratusan permohonan ahli baharu setiap hari, khususnya dalam kalangan anak muda.
Bersatu juga mempertahankan tindakan disiplin terhadap beberapa ahlinya dengan menjelaskan langkah itu dibuat mengikut perlembagaan parti dan telah disahkan sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Mengenai krisis politik di Negeri Sembilan pula, Bersatu mendakwa pihaknya telah beberapa kali cuba mendapatkan pandangan PAS sebelum mengambil keputusan menarik sokongan terhadap kerjasama dengan UMNO selepas parti itu kekal bersama kerajaan perpaduan negeri.
“PAS gagal memberikan sebarang maklum balas terhadap cadangan Bersatu untuk menarik sokongan selepas UMNO kembali menyokong kerajaan PH di Negeri Sembilan,” katanya.
Bersatu turut melahirkan rasa kesal terhadap kritikan terbuka PAS dan menegaskan semua keputusan penting PN sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu demi menjaga kestabilan dan kesatuan parti pembangkang berkenaan.
DAP sokong cadangan bubar DUN Negeri Sembilan
Isu agama dan kaum dimainkan Akmal beri beban kepada kerajaan: Rafizi
Rafizi berisiko kalah kerusi Pandan sama seperti di Gombak: AMK Pulau Pinang
AMK desak wakil rakyat PKR jelaskan kehadiran semasa program Rafizi
Tengku Zafrul diberi peranan baharu jaga kerusi Parlimen Pandan: Amiruddin
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi