Naib Ketua AMK, Nabil Halimi.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi mempersoalkan sejauh mana komitmen UMNO dalam mempertahankan semangat Kerajaan Perpaduan yang menurutnya telah berjaya mewujudkan kestabilan politik serta meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara.
Nabil berkata, walaupun bersetuju dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi rundingan berkaitan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan masih terbuka, beberapa tindakan UMNO kebelakangan ini menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan parti itu dalam mengekalkan kestabilan politik.
“Jika benar ikhlas mempertahankan Kerajaan Perpaduan, mengapa masih wujud tindakan yang membuka ruang kepada ketidakstabilan politik ketika negara dan dunia sedang berdepan pelbagai cabaran ekonomi serta ketidaktentuan global?” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Nabil, keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor walaupun kerajaan negeri masih stabil dan memiliki majoriti selesa menimbulkan tanda tanya.
Katanya, langkah itu dibuat ketika Johor masih mempunyai baki tempoh pentadbiran sebelum tamat penggal dan ketika negeri itu sedang menikmati momentum pertumbuhan ekonomi yang positif.
Beliau turut menyentuh hasrat sesetengah pihak dalam UMNO untuk bertanding secara solo, walaupun kerjasama dalam Kerajaan MADANI, khususnya di Johor, didakwa telah membantu meningkatkan pelaburan asing serta memperkukuh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Dalam perkembangan berkaitan, Nabil mendakwa ketegangan politik yang berlaku di Negeri Sembilan berpunca daripada percaturan kuasa oleh sebahagian pemimpin UMNO sehingga mencetuskan ketidaktentuan politik yang akhirnya memaksa Pakatan Harapan (PH) mengembalikan mandat kepada rakyat.
Beliau menegaskan negara tidak boleh kembali kepada kitaran ketidakstabilan politik yang didorong oleh perebutan kuasa jangka pendek kerana keadaan itu boleh memberi kesan negatif kepada rakyat dan ekonomi.
“Malaysia tidak boleh terus terperangkap dalam politik percaturan kuasa ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup dan ekonomi global yang mencabar,” katanya.
Nabil turut mengimbas semula situasi politik ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, apabila UMNO didakwa memberi tekanan politik walaupun ketika itu wujud persefahaman rentas parti menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan bagi menjamin kestabilan negara selepas pandemik Covid-19.
Menurut beliau, pengalaman lalu termasuk pilihan raya yang diadakan ketika negara masih berdepan kesan pandemik serta episod selepas Pilihan Raya Negeri Sabah membuktikan ketidakstabilan politik boleh memberi kesan besar kepada rakyat.
Nabil berkata, pendekatan kompromi yang diamalkan dalam Kerajaan Perpaduan telah membantu memulihkan ekonomi pasca pandemik serta mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
“Persoalan yang perlu dijawab UMNO ialah sama ada mahu terus membina negara bersama-sama dalam semangat Kerajaan Perpaduan atau mengulangi politik percaturan ketika krisis yang akhirnya mengorbankan rakyat dan ekonomi demi kuasa,” katanya.
PAS berjaya ‘gamekan’ Muhyiddin: Bermula dengan krisis Hamzah hingga ke perceraian
Jangan tutup pintu kerjasama politik, UMNO jangan bakar jambatan: Amanah
Pemuda UMNO Johor balas sindiran Loke berhubung isu kerjasama dengan DAP
Parti Amanah persoal sikap UMNO Johor terhadap DAP
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi