[VIDEO] Tiga tahun PMX tak pernah dengar Aminuddin tak bela nasib Melayu Negeri Sembilan

July 23, 2026

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Negeri Sembilan berada dalam keadaan baik dengan ekonomi yang berkembang dan pelaburan yang terus masuk, justeru rakyat perlu mengekalkan Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.

Menurut Anwar, tiada alasan kukuh untuk menukar pentadbiran negeri itu kerana beliau tidak pernah mendengar isu besar membabitkan kegagalan mentadbir, rasuah atau kegagalan membantu rakyat sepanjang tempoh Aminuddin menerajui Negeri Sembilan.

“Negeri Sembilan ni apa masalah dia? Saya tak pernah dengar dia tak reti tadbir, ada kes rasuah atau tak tolong rakyat jadi masalahnya apa?” katanya.

Beliau berkata, dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak membela Melayu atau Aminuddin hanya mengikut telunjuk DAP juga tidak pernah dibangkitkan kepadanya sepanjang tiga tahun setengah beliau menjadi Perdana Menteri.

Sebaliknya, Anwar mendakwa isu sebenar ialah pihak tertentu mahu merebut jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan selepas gagal menduduki jawatan berkenaan.

“Mereka bukan Menteri Besar. Itu yang percubaan tebuk atap yang awal di Negeri Sembilan,” katanya.

Anwar berkata, sekiranya terdapat kelemahan ketara dalam pentadbiran seperti tidak tahu bekerja, tidak turun padang, tidak mengambil berat masalah rakyat atau gagal membawa ikhtiar baharu, beliau sendiri mempunyai pengaruh dalam PH untuk mencadangkan supaya Aminuddin digantikan.

Namun, katanya, berdasarkan rekod prestasi, keikhlasan, akhlak dan peribadi, Aminuddin merupakan calon terbaik untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Beliau turut memuji rekod kerajaan negeri dalam pelbagai aspek, termasuk pembangunan masjid, program rakyat, ekonomi dan pelaburan yang penting bagi menyediakan peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan muda.

Anwar kemudian menolak naratif bahawa pilihan raya ini adalah peluang untuk membentuk kerajaan Melayu, dengan menyifatkan hujah berkenaan sebagai tidak tepat kerana kerajaan yang ada turut melibatkan MCA dan MIC, manakala beliau sendiri memilih untuk bekerjasama dengan DAP berdasarkan rekod dan prinsip.

Dalam isu pembelaan terhadap Melayu, Anwar berkata beliau tidak pernah mendengar dakwaan bahawa PH tidak membela nasib Melayu sepanjang tiga tahun setengah beliau memimpin kerajaan.

“Pakatan Harapan tidak membela nasib Melayu? Tiga tahun setengah saya tak dengar,” katanya.

Beliau menegaskan isu sebenar bukan soal Melayu, sebaliknya perebutan kuasa untuk mengambil alih Negeri Sembilan.

Anwar turut mempertahankan rekod kerajaan dalam menangani isu 1MDB, Tabung Haji dan FELDA yang menurutnya menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada orang Melayu.

Katanya, isu tersebut tidak sepatutnya dilihat berdasarkan kaum kerana ia membabitkan soal pengurusan dan tatakelola.

Beliau berkata kerajaan masih perlu membayar hampir RM980 juta setahun bagi FELDA, selain mengkritik keputusan pengurusan terdahulu yang menyebabkan aset dan pelaburan tertentu mengalami kerugian.

Anwar turut menyentuh isu Tabung Haji dan berkata institusi berkenaan mengalami kerugian besar, termasuk dakwaan kerugian RM10 bilion yang menurutnya perlu dijelaskan kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau mencabar pihak yang menuduhnya melakukan “sakau” supaya mengemukakan bukti, sambil mendakwa terdapat pemimpin Melayu yang memiliki kekayaan berbilion ringgit.

“Ramai cakap hidup Melayu, tetapi ada pemimpin Melayu kaya RM4 bilion,” katanya.

Anwar mempersoalkan sama ada individu yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang Melayu benar-benar bersedia memulangkan sebahagian kekayaan mereka kepada orang Melayu yang memerlukan.

Beliau kemudian mempertahankan beberapa dasar kerajaan yang menurutnya memberi manfaat kepada orang Melayu, termasuk penambahan peruntukan kepada MARA, bantuan kepada FELDA, peruntukan kepada JAKIM serta pengisytiharan tanah sebagai rizab Melayu.

Menurutnya, kerajaan mengambil semula 480 ekar tanah di Bandar Malaysia dan kemudiannya mengisytiharkan 50 ekar tanah berkenaan sebagai tanah rizab Melayu.

Anwar berkata keputusan itu turut mendapat sokongan DAP dan menegaskan Anthony Loke tidak membantah cadangan berkenaan.

“Sejak merdeka 1957, mana ada kerajaan dan Perdana Menteri berani isytiharkan tanah termahal di Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu,” katanya.

Beliau turut mempertahankan dasar Matrikulasi dengan berkata pelajar yang memperoleh 10A, tanpa mengira kaum, wajar diberi peluang, manakala 90 peratus kuota masih kekal sebagai rizab Bumiputera.

Anwar mempersoalkan kerugian yang kononnya ditanggung orang Melayu jika pelajar Cina, India, Iban atau Kadazan yang memperoleh keputusan cemerlang diberi laluan ke Matrikulasi.

“90 peratus kita masih rizab Bumiputera untuk Matrikulasi. Nak kata khianat macam mana lagi?” katanya.

Dalam isu Islam pula, Anwar mengkritik pendekatan politik yang menurutnya gemar memaki, mengkafirkan dan melabel pihak lain sebagai munafik.

Beliau berkata Islam berkembang di Tanah Melayu kerana pendekatan pendakwah terdahulu yang mengutamakan hikmah, kebijaksanaan dan toleransi.

Anwar berkata keadilan merupakan antara nilai tertinggi dalam Islam dan menegaskan kerajaan perlu menjaga orang Melayu serta umat Islam, pada masa sama berlaku adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Saya tidak akan bertolak ansur untuk menegakkan keadilan bagi semua,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk dikenali sebagai pemimpin Melayu yang tidak mencuri wang, tidak menghina kaum lain dan bersikap adil kepada masyarakat Cina serta India.

Anwar berkata beliau mahu orang Melayu melihat seorang pemimpin yang benar-benar menjaga kepentingan mereka, manakala masyarakat Cina dan India pula merasakan mereka turut dilayan sebagai sahabat dan keluarga.

Menyentuh ekonomi negara, Anwar berkata harga minyak di Malaysia kini lebih rendah berbanding beberapa negara lain, sambil menegaskan perkembangan ekonomi negara bukan hasil usaha beliau seorang, tetapi kerja berpasukan.

Beliau berkata ekonomi Malaysia terus berkembang, namun mengakui kos sara hidup masih tinggi dan bantuan kerajaan yang disalurkan masih belum menyelesaikan sepenuhnya masalah rakyat.

Anwar berkata beliau kerap turun ke warung dan gerai untuk mendengar sendiri masalah rakyat, termasuk isu harga bawang dan sayur yang meningkat.

Justeru, beliau berkata kerajaan akan menambah lagi bantuan sara hidup kepada rakyat dalam masa terdekat.

Menjelang penutup ucapannya, Anwar menyeru rakyat Negeri Sembilan mengekalkan Aminuddin sebagai Menteri Besar bagi meneruskan pentadbiran negeri yang menurutnya telah menunjukkan rekod yang baik.

Beliau turut menyeru supaya amalan salah guna kuasa dihentikan, termasuk menjadikan harta negeri sebagai harta peribadi, menghantar wang ke luar negara dan membeli aset di luar negara.

Anwar berkata Negeri Sembilan memerlukan pemimpin yang bersih, ikhlas dan mampu bekerja bersama semua kaum.

“Negeri Sembilan dah elok dah. Cuma nak rebut Menteri Besar saja. Kalau siapa nak buat, jangan bagi, bagi kat Amin,” katanya.