[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih

2 jam lalu

Calon bagi DUN Bagan Pinang, Nasir Rahman, menyifatkan sambutan pengundi terhadap kempennya sepanjang lima hari pertama adalah positif, meskipun mengakui masih berdepan cabaran untuk bertemu semua pengundi di kawasan berkenaan.

Nasir berkata, beliau telah turun padang ke kawasan-kawasan tumpuan serta mengadakan sesi walkabout di taman-taman perumahan bagi mendekati seramai mungkin pengundi.

“Alhamdulillah, setakat ini daripada sudut penerimaan, ia positif. Cuma kita masih ada banyak cabaran kerana pengundi begitu ramai dan agak sukar untuk saya berjumpa seorang demi seorang,” katanya dalam satu temu bual sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, hubungan dengan penduduk di Bagan Pinang bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis serta menyelaras Pusat IMAN DUN Bagan Pinang.

Beliau turut menjelaskan bahawa sepanjang tempoh pandemik COVID-19, dirinya telah memberi tumpuan kepada semua kawasan di Bagan Pinang bagi menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan.

Mengulas isu yang dibangkitkan pengundi, Nasir berkata kebimbangan utama melibatkan penjaja dan peniaga kecil, khususnya golongan belia yang baru memulakan perniagaan di kawasan pantai sekitar Teluk Kemang.

Katanya, sektor pelancongan di Port Dickson perlu terus diperkasakan kerana ia menjadi sumber pendapatan utama kepada ramai peniaga tempatan.

“Di kawasan pantai, kita lihat penambahbaikan dan naik taraf telah dibuat dan ia perlu diteruskan supaya sektor pelancongan dapat memberi lebih banyak manfaat kepada para peniaga,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkukuh kemudahan pelancongan akan membantu meningkatkan ekonomi setempat, terutama kepada peniaga kecil yang bergantung kepada kehadiran pelancong.

Dalam pada itu, Nasir memohon sokongan pengundi DUN Bagan Pinang pada hari pengundian bagi memberi peluang kepadanya menjadi wakil rakyat kawasan tersebut.

“Saya menyeru kepada seluruh penduduk DUN N31 Bagan Pinang supaya memberikan saya peluang untuk menjadi wakil rakyat dan mengundi calon nombor tiga pada hari pengundian nanti,” katanya.