Anwar: Kebebasan mahasiswa mesti diberi sepenuhnya

August 26, 2026 · Politik

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kebebasan mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diberikan sepenuhnya supaya universiti kembali menjadi ruang untuk pemikiran kritis, perbahasan dan percambahan idea baharu.

Beliau berkata pihak pengurusan universiti serta kementerian berkaitan perlu menerima realiti kebebasan mahasiswa penting dalam membentuk budaya keilmuan yang lebih dinamik.

“Menerima kenyataan ruang kebebasan mahasiswa harus diberikan sepenuhnya tanpa sebarang kekangan yang menghalang kegiatan mereka. Sama ada kita setuju atau tidak, itu soal lain.

“Kita boleh berbahas dan menuntut anak-anak mahasiswa mempertahankan hujah mereka, tetapi mesti menjadikan belia universiti ini sebagai medan untuk pemikiran kritis dan pemikiran segar,” katanya ketika menjadi moderator Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 bertemakan Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, malam tadi.

Pada forum itu, beliau turut mengarahkan supaya tindakan disiplin terhadap mahasiswa yang dikenakan semata-mata kerana menyuarakan kritikan atau pandangan akademik ditarik balik serta-merta.

“Kalau ada mahasiswa yang diberikan tindakan disiplin semata-mata kerana suara mereka, kritikan mereka, termasuk kritikan kepada Perdana Menteri, saya rasa mulai esok mereka hendaklah dilepaskan sepenuhnya.

“Kalau kes polis, ya… itu isu lain,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan kebebasan bersuara tidak bermaksud mahasiswa boleh bertindak di luar batas undang-undang atau mengganggu ketenteraman awam.

“Anda boleh suarakan pendirian anda, tetapi anda tidak boleh mengganggu ketenteraman atau merosakkan harta awam. Bila kita kata kebebasan itu, nak bersuara, beri pandangan atau hantar memo, itu dialu-alukan,” katanya.

Mengenai usaha menambah baik AUKU 1971, Anwar berkata sebarang pindaan tidak seharusnya digunakan untuk mengukuhkan kuasa kerajaan atau menteri.

Sebaliknya, beliau mahu pemusatan kuasa dikurangkan bagi memberi lebih banyak autonomi kepada universiti dalam urusan pentadbiran dan akademik.

“Sebarang pindaan ini tidak boleh digunakan untuk memperkukuh kuasa menteri. Yang sedikit akan mengurangkan kuasa kerajaan sendiri, kuasa menteri atau kementerian untuk memberikan lebih banyak kelonggaran dan kebebasan kepada universiti,” katanya.

Isu kebebasan mahasiswa dan AUKU kembali mendapat perhatian susulan tuntutan supaya undang-undang berkenaan ditambah baik agar lebih selari dengan perkembangan pendidikan tinggi serta keperluan mahasiswa masa kini.

Forum berkenaan turut menampilkan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Presiden Akademi Sains Malaysia Tengku Mohd Azzman Shariffadeen sebagai panel.

Berita berkaitan
Syed Azman Tokoh Perdana Maulidur Rasul, Anwar ucap tahniah kepada semua penerima
August 25, 2026· Isu semasa
Cadangan Audit forensik FELDA akan dibawa ke Kabinet: Anwar
August 25, 2026· Isu semasa
Anwar: Jadikan ajaran Rasulullah panduan hidup
August 25, 2026· Isu semasa
Anwar rasmi Menara FINAS baharu, industri kreatif masuk fasa baharu
August 24, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Kes pengisytiharan harta: Ismail Sabri akan didakwa esok
4 jam lalu · Politik
Mahkamah kekal keputusan, Ketua Menteri P. Pinang menang kes saman fitnah
8 jam lalu · Politik
RCI Tabung Haji: Kerajaan tidak akan kompromi dan tindakan tegas diambil
8 jam lalu · Politik
Aziz Bari gesa UMNO, PAS henti pertikai RCI Tabung Haji
8 jam lalu · Politik
Peja: Bersatu tak mampu bergerak solo di Melaka
10 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok