Seramai 1,476 pelarian Myanmar yang berada dalam tahanan depot imigresen dijangka dihantar pulang ke Myanmar secara sukarela pada hujung September ini.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kesemua mereka telah menandatangani dokumen yang menyatakan kesediaan untuk kembali ke negara asal secara sukarela.
Beliau berkata, daripada lebih 10,000 pelarian Myanmar yang berada di depot imigresen, sebanyak 5,000 nama telah disaring Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dikemukakan kepada Kedutaan Myanmar.
“Daripada senarai nama itu, 1,476 telah dipersetujui oleh pihak Myanmar untuk menerima kembali mereka dan ini akan berlaku pada hujung September,” katanya.
Menurutnya, proses penghantaran pulang itu dibuat berdasarkan persetujuan dan persefahaman antara Malaysia dengan pihak Myanmar.
Beliau turut menegaskan bahawa 1,476 individu berkenaan akan diterima kembali dan berada dalam keadaan selamat di Myanmar.