Isu bil elektrik.
Pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menggunakan elektrik sehingga 800 kilowatt-jam (kWj) sebulan dijangka menikmati penjimatan bil sehingga RM47.25 mulai Oktober ini.
Penjimatan itu susulan keputusan kerajaan memperluaskan aras perlindungan penggunaan elektrik daripada 600 kWj kepada 800 kWj sebulan, sekali gus memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna domestik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Shamsul Ahmad berkata, jumlah penjimatan bergantung kepada tahap penggunaan elektrik setiap isi rumah.
“Dengan perluasan zon perlindungan ini, diharapkan lebih ramai pengguna akan dapat mengawal bil masing-masing dan mengurangkan beban daripada pihak pengguna,” katanya ketika Taklimat Media Mengenai Mekanisme Pelindungan Tambahan Buat Pengguna Domestik Elektrik di sini, Jumaat.
Menurut beliau, pengguna dengan penggunaan 601 kWj sebulan akan menyaksikan bil turun daripada RM258.40 kepada RM225.50, memberikan penjimatan RM32.90.
Bagi penggunaan 650 kWj, bil pula berkurang daripada RM280.20 kepada RM243.90, iaitu penjimatan RM36.30 sebulan.
Pengguna yang mencatat penggunaan 700 kWj akan membayar RM276.85 berbanding RM316.75 sebelum ini, manakala penggunaan 750 kWj menyaksikan bil turun daripada RM347.85 kepada RM304.30.
“Bagi penggunaan maksimum dalam kategori perlindungan baharu, iaitu 800 kWj, bil elektrik dikurangkan daripada RM375.85 kepada RM328.60, memberikan penjimatan tertinggi sebanyak RM47.25 sebulan,” katanya.
Perluasan perlindungan itu melibatkan pengecualian beberapa caj termasuk Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA), cukai jualan dan perkhidmatan (SST) lapan peratus serta caj peruncitan RM10 bagi pengguna dalam julat penggunaan ditetapkan.
Langkah itu diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Khamis dan berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik dari September hingga 31 Disember 2026.
Bagi penggunaan September, pengurangan caj berkenaan akan dikreditkan dalam bil elektrik yang diterima pada Oktober.
Kerajaan menganggarkan langkah tersebut memberi manfaat kepada lebih lapan juta pengguna domestik TNB atau sehingga 90 peratus daripada keseluruhan pengguna, termasuk hampir satu juta pengguna tambahan berbanding aras perlindungan sebelum ini.
Perluasan aras perlindungan ini dilaksanakan ketika kos sara hidup terus menjadi antara isu utama isi rumah, dengan bil utiliti menjadi salah satu komponen perbelanjaan bulanan yang perlu diurus pengguna.
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
Zamri Vinoth kekal berdepan pertuduhan, perbicaraan April tahun depan
AGC: Proklamasi 19 April turunkan Tuanku Muhriz tidak sah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum