Anwar berucap semasa International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 malam tadi.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tiada tindakan akan dikenakan terhadap pelajar yang mengkritik beliau atau kerajaan, sambil menekankan kebebasan bersuara sebagai asas penting dalam membentuk pemikiran kritis generasi muda.
Beliau berkata, kritikan terhadap pemimpin bukan satu kesalahan kerana setiap individu, termasuk pemimpin negara, tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Menurutnya, institusi pendidikan sepatutnya menjadi ruang untuk pelajar mengemukakan pandangan, menguji idea dan mempertahankan pendirian secara matang.
“Kritikan bukanlah suatu jenayah. Sama seperti pelajar, para pemimpin juga melakukan kesilapan,” katanya ketika merasmikan sidang kemuncak International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur malam tadi.
Anwar turut menggesa golongan belia supaya berani mempertahankan kebenaran, menentang rasuah, menolak penindasan dan tidak berkompromi dengan ketidakadilan.
Beliau berkata, generasi muda perlu berpegang teguh pada prinsip serta bersedia memikul tanggungjawab membina negara yang berintegriti dan bermaruah.
“Saya menggesa anak muda agar berani berpihak kepada kebenaran, menentang rasuah, menolak penindasan dan tidak sesekali berkompromi dengan ketidakadilan,” katanya.
Menurut beliau, golongan muda perlu muncul sebagai pemimpin yang berprinsip, amanah dan berani dalam membawa Malaysia ke arah masa depan lebih baik.
Jaminan itu menyusul selepas Anwar mengumumkan di Dewan Rakyat, baru-baru ini, prosiding tatatertib di universiti awam berkaitan kebebasan bersuara, penyampaian pandangan, kritikan awam dan perhimpunan aman akan dihentikan serta-merta.
Pada masa sama, Kementerian Pendidikan Tinggi sedang menyediakan kerangka perundangan menyeluruh bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperluas ruang kebebasan bersuara mahasiswa dan menilai semula pendekatan institusi pengajian tinggi terhadap kritikan serta aktivisme pelajar.
Isu berkenaan kembali mendapat perhatian susulan perkembangan kes aktivis mahasiswa Wong Yan Ke yang gagal mengetepikan sabitan dan denda RM10,000 berkaitan tindakan membawa plakad ketika istiadat konvokesyen Universiti Malaya pada 2019.
Wong disabitkan kesalahan pada 2023 berhubung tindakannya ketika membantah naib canselor universiti itu, Abdul Rahim Hashim.
Pada Ogos lalu, Anwar turut menegaskan universiti perlu memberi ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan dan menegur institusi.
Beliau berpandangan, universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah perlu berfungsi sebagai medan percambahan idea, perdebatan sihat dan pembentukan pemikiran kritis dalam kalangan generasi muda.
Pempengaruh digesa jangan eksploitasi isu 3R demi populariti: Yuneswaran
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
Belanjawan 2027 dijangka pacu pelaburan berkualiti: MIDA
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum