Saifuddin Nasution Ismail.
Polis membekukan dan menyita aset bernilai kira-kira RM409 juta dalam siasatan berterusan berhubung dakwaan kegiatan mafia korporat menerusi Op Viking.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu membabitkan pelbagai jenis aset termasuk hartanah, kenderaan, akaun saham dan akaun bank yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti sedang disiasat.
Menurutnya, setakat 25 September lalu, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Aset yang dibekukan dan disita merangkumi lapan hartanah, 11 kenderaan, 417 akaun sistem depositori pusat (CDS), 70 akaun dagangan saham bernilai kira-kira RM323.59 juta serta 404 akaun bank yang mengandungi sekitar RM85.62 juta.
“Polis telah mengambil tindakan, termasuk penahanan beberapa individu serta pembekuan dan penyitaan pelbagai aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) mengenai skop dan perkembangan terkini siasatan polis berhubung dakwaan kewujudan mafia korporat susulan arahan Kabinet supaya siasatan menyeluruh dijalankan.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, berdasarkan latar belakang dan identiti individu yang dipanggil untuk memberi keterangan, setakat ini tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat atau dikenal pasti perlu membantu siasatan berkenaan.
Beliau menegaskan Op Viking masih berjalan dan pihak polis sedang berusaha melengkapkan kertas siasatan sebelum tindakan lanjut dipertimbangkan mengikut peruntukan undang-undang.
“Kementerian memberi jaminan pihak polis kekal komited untuk menjalankan siasatan selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Siasatan itu menjadi perhatian susulan dakwaan kegiatan mafia korporat yang dikaitkan dengan urusan perniagaan dan pemilikan aset. Pembekuan serta penyitaan aset merupakan antara langkah penguatkuasaan bagi mengelakkan aset berkaitan dipindahkan atau dilupuskan ketika siasatan dijalankan.
Bagaimanapun, pembekuan atau penyitaan aset tidak dengan sendirinya membuktikan seseorang individu melakukan kesalahan. Sebarang tindakan pendakwaan bergantung pada hasil siasatan dan bukti yang dikumpulkan pihak berkuasa.
Kerajaan sudah bayar RM42.5 bilion hutang 1MDB, berbaki RM8.9 bilion
Eksport Malaysia ke AS melonjak 69.1 peratus, cecah RM282 bilion
Isu MyKad tular dimiliki warga asing, JPN siasat dakwaan
Bekas polis dakwa jadi mangsa kekerasan Shuhaily 11 tahun lalu
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum