Mahfuz Omar.
UMNO didakwa mahu menikmati kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, tetapi pada masa sama bekerjasama dengan PAS dan Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar mempersoalkan pendirian UMNO susulan keputusan parti itu untuk bekerjasama dengan PAS dan PN dalam menghadapi PRN Melaka, termasuk membantu calon PN serta melancarkan manifesto bersama.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai percanggahan dalam kerjasama politik, memandangkan UMNO dan PH merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negara di peringkat Persekutuan.
“Di satu meja mengaku rakan, di gelanggang pilihan raya membantu pihak yang menentang rakan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mahfuz, perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai kejujuran dan komitmen UMNO terhadap kerjasama politik yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beliau turut mendakwa pendekatan UMNO di Melaka bukan kejadian terpencil, sebaliknya sebahagian daripada corak kerjasama politik yang turut dipersoalkan dalam pilihan raya negeri lain.
Mahfuz berkata UMNO perlu menjelaskan sama ada parti itu benar-benar komited untuk mempertahankan Kerajaan Perpaduan atau sekadar mahu mengekalkan kedudukan dalam kerajaan sambil membantu gabungan yang menentang PH di peringkat negeri.
“Kalau UMNO benar-benar memilih PAS dan PN sebagai rakan politiknya, nyatakan dengan berani. Jangan berselindung di sebalik alasan politik negeri berbeza daripada politik pusat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan kepimpinan UMNO supaya tidak mengambil kesempatan daripada perkongsian kuasa di Putrajaya, sedangkan tindakan politiknya di negeri boleh menjejaskan kedudukan rakan kerajaan sendiri.
“Jika prinsip boleh berubah mengikut gelanggang, bagaimana rakyat hendak mempercayai janji yang dibuat selepas pilihan raya?” soalnya.
Mahfuz berkata, isu berkenaan bukan sekadar perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, tetapi turut membabitkan kepercayaan rakyat terhadap prinsip perkongsian kuasa dan tanggungjawab parti politik.
Sehubungan itu, beliau menggesa UMNO membuat pendirian yang jelas serta bersedia menerima kesan daripada keputusan politik yang diambil.
“Dalam politik, yang paling merosakkan kepercayaan bukan semata-mata perbezaan pendapat, tetapi apabila kata-kata persahabatan tidak seiring dengan tindakan,” katanya.
Enam Ahli Parlimen Bersatu tandatangan CSA, terima peruntukan setara
Rosmah gagal penuhi syarat, Global Royalty teruskan tuntutan RM67.5 juta: Laporan
DUN Negeri Sembilan berisiko terbubar Februari depan jika tiada sidang
Chegubard dipenjara empat bulan kes fitnah: Laporan
MCA tak hadir di pelancaran jentera BN Masjid Tanah, krisis kerusi belum reda?
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum