Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Azalina Othman Said.
Langkah untuk memisahkan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP) dijangka mengambil masa kira-kira setahun berikutan keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan serta 21 undang-undang berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata, proses berkenaan memerlukan perancangan rapi dan tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh singkat kerana melibatkan pindaan undang-undang secara menyeluruh.
Menurutnya, sebanyak 21 undang-undang berkaitan perlu dibentangkan dan mendapat kelulusan Parlimen sebelum pengasingan kedua-dua peranan itu dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Pelaksanaannya mungkin mengambil masa setahun kerana terdapat 21 undang-undang berkaitan yang perlu kita bentangkan dan luluskan di Parlimen,” katanya selepas menghadiri Forum Pembaharuan Insolvensi Asia (FAIR) 2026 hari ini.
Azalina turut menggesa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang supaya mengetepikan kepentingan politik kepartian bagi memastikan reformasi institusi itu mendapat sokongan majoriti dua pertiga Dewan Rakyat.
Katanya, sekurang-kurangnya 148 undi diperlukan untuk meluluskan pindaan Perlembagaan berkaitan pengasingan peranan AG dan PP.
Beliau menegaskan reformasi itu perlu dilihat sebagai agenda kepentingan negara dan bukannya kepentingan mana-mana parti politik.
“Pemisahan AG-PP ini perlu melangkaui fahaman politik kerana pihak yang akhirnya akan menerima manfaat daripadanya ialah parti politik itu sendiri.
“Kita tidak mahu apabila berlaku pilihan raya dan pertukaran kerajaan, timbul tuduhan pendakwaan yang dilakukan bermotifkan politik,” katanya.
Menurut Azalina, pelaksanaan pengasingan itu ketika ini mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada semua parti politik, termasuk pihak yang mungkin mengambil alih kerajaan pada masa depan.
Beliau turut berpandangan sokongan penuh daripada 218 Ahli Parlimen yang layak mengundi akan menghantar mesej positif kepada rakyat mengenai kesepakatan kepimpinan politik dalam menjayakan reformasi institusi.
“Jika kita laksanakannya sekarang, ia akan memberikan lebih banyak kebaikan kepada parti serta ahli politik dan bukannya kemudaratan,” katanya.
Untuk rekod, cadangan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan antara agenda reformasi institusi yang bertujuan memperjelaskan bidang kuasa kedua-dua jawatan, khususnya dalam aspek nasihat perundangan kepada kerajaan dan kuasa menjalankan pendakwaan jenayah.
Pengasingan itu juga dilihat penting bagi memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Beras masih cukup, jangan buat pembelian panik: Mohamad Sabu
MMM mahu hak pekerja Utusan, Kosmo! dilindungi
KBS tak lulus HYROX KL jika tajaan arak tidak ditarik balik
Kes scam: Janji untung 50 peratus, pesara guru rugi RM521,787
Seludup rokok: Datuk antara tiga ditahan SPRM, rasuah polis RM1 juta
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum