Harga mingguan minyak.
Harga petrol RON97 mencatatkan penurunan sebanyak 50 sen seliter, manakala RON95 turun 40 sen bagi tempoh 12 hingga 18 November ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan harga RON97 kini ditetapkan pada RM4.20 seliter berbanding RM4.70 sebelum ini, manakala RON95 tanpa subsidi turun daripada RM4.27 kepada RM3.87 seliter.
Harga diesel tanpa subsidi turut mencatatkan penurunan sebanyak 25 sen kepada RM4.87 seliter berbanding RM5.12 sebelum ini.
Menurut kementerian, penurunan harga bahan api itu didorong penyusutan harga minyak mentah dunia serta peningkatan bekalan produk petroleum bertapis di pasaran serantau.
“Bagaimanapun, selagi konflik di Iran belum mencapai penyelesaian, harga petroleum dunia kekal terdedah kepada turun naik ketara,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut menjelaskan serangan terbaharu terhadap kapal tangki di Selat Hormuz menunjukkan risiko gangguan bekalan minyak global masih belum reda.
Dalam pada itu, kerajaan menegaskan komitmen untuk melindungi rakyat dan sektor perniagaan daripada tekanan kenaikan kos melalui pelaksanaan subsidi bahan api bersasar menerusi BUDI MADANI.
“Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion pada tahun hadapan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup,” katanya.
Bagi pengguna yang layak menerima subsidi menerusi program BUDI95, harga petrol RON95 kekal pada RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM3.87 seliter.
Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.88 bagi setiap liter, bersamaan kira-kira 49 peratus daripada harga pasaran tanpa subsidi.
Penurunan harga minyak minggu ini dijangka memberi sedikit kelegaan kepada pengguna, khususnya pemilik kenderaan yang menggunakan petrol RON97 dan diesel tanpa subsidi, dalam menghadapi kos pengangkutan dan perbelanjaan harian.
Mekanisme penetapan harga bahan api mingguan dilaksanakan menerusi formula Automatic Pricing Mechanism (APM) dengan mengambil kira pergerakan harga produk petroleum di pasaran antarabangsa serta faktor berkaitan.
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
KDN kaji kawalan lebih ketat di pangkalan tentera, polis
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan