UNHCR henti daftar pelarian, kerajaan ambil alih urusan

November 19, 2026 · Isu semasa

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan semua aktiviti pendaftaran dan dokumentasi pelarian serta pemohon suaka di Malaysia berkuat kuasa 18 November 2026.

Keputusan itu dibuat selaras dengan langkah kerajaan Malaysia mengambil alih tanggungjawab pendaftaran dan pengurusan data komuniti pelarian menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Dalam kenyataan rasmi di laman sesawangnya, UNHCR memaklumkan pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia berhubung pelan peralihan bagi memastikan kesinambungan perlindungan kepada pelarian dan pemohon suaka di negara ini.

“UNHCR akan terus memberikan nasihat teknikal, perkongsian kapasiti dan kerjasama kepada kerajaan sepanjang proses peralihan itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, agensi itu menegaskan penghentian aktiviti pendaftaran dan dokumentasi tidak bermaksud operasinya di Malaysia ditutup sepenuhnya.

UNHCR bersama rakan kerjasama akan meneruskan aktiviti lain termasuk urusan penempatan semula serta bantuan kepada pelarian dan pemohon suaka yang mempunyai keperluan perlindungan mendesak.

Pengumuman itu menyusul kenyataan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat dua hari lalu mengenai keputusan kerajaan mengambil alih urusan pendaftaran dan pengurusan data komuniti pelarian secara berperingkat.

Kerajaan akan melaksanakan pengambilalihan itu menerusi sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi membolehkan pihak berkuasa mempunyai rekod yang lebih sahih dan menyeluruh tanpa bergantung kepada entiti luar.

Langkah berkenaan juga dilihat sebagai usaha kerajaan memperkukuh kawalan terhadap pengurusan komuniti pelarian, termasuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai identiti dan jumlah mereka yang berada di Malaysia.

Perkembangan itu turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat, khususnya di media sosial, dengan isu kedaulatan negara, keselamatan sempadan dan keberkesanan sistem pendaftaran baharu menjadi antara perkara yang dibangkitkan.

Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin menyifatkan keputusan UNHCR itu sebagai perkembangan yang sudah lama dituntut rakyat Malaysia.

“Namun, usaha kita tidak boleh terhenti di sini. Saya akan memberikan respons lanjut berhubung perkara ini. Bersama-sama kita terus mempertahankan pertiwi yang berdaulat ini,” katanya menerusi hantaran di Threads.

Pada masa sama, pengguna media sosial turut mempersoalkan keupayaan sistem DPP, termasuk aspek kecekapan pendaftaran, ketelusan, pencegahan rasuah dan sumber pembiayaan pelaksanaannya.

Persoalan turut dibangkitkan mengenai jumlah sebenar pelarian di negara ini, status mereka yang tidak berdaftar serta mekanisme kerajaan menguruskan kemasukan pemohon suaka baharu.

Isu ini penting memandangkan Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

Sebelum ini, UNHCR memainkan peranan utama dalam pendaftaran, dokumentasi dan penentuan status pelarian di negara ini.

Berita berkaitan
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
10 jam lalu· Isu semasa
Hampir 97,000 warga asing ditahan sejak 2024: Polis
November 14, 2026· Isu semasa
Pelarian Myanmar guna IC orang lain daftar Touch ‘n Go didenda RM3,500
November 13, 2026· Isu semasa
PMX kecam serangan terhadap anggota polis di Kepong
November 12, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
10 jam lalu · Isu semasa
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
10 jam lalu · Isu semasa
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
10 jam lalu · Isu semasa
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
10 jam lalu · Isu semasa
KDN kaji kawalan lebih ketat di pangkalan tentera, polis
10 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
November 20, 2026
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
November 17, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok