Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersama Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet semasa rundingan gencatan senjata pada Julai lepas.
Malaysia selaku Pengerusi Asean memainkan peranan penting sebagai mediator dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja yang berlangsung semalam, susulan ketegangan sempadan yang berlarutan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri (PM) Anwar Ibrahim berjaya mendamaikan kedua-dua negara bertelagah tanpa campur tangan secara langsung pihak asing dan memastikan semangat Asean sentiasa menjadi keutamaan bagi mencari titik persamaan.
“Pandangan saya tentang peranan yang dimainkan Perdana Menteri sangat bagus dan menajubkan… Saya rasa PM telah buat satu tugas yang sangat baik sebagai pengerusi.
“Saya rasa kali ini saya dapat lihat peranan dia yang betul-betul cemerlang dalam rundingan semalam. Maknanya PM telah berjaya menyebabkan China dan AS duduk di belakang, tidak duduk di depan,” kata penganalisis, Prof Salawati Mat Basir.
Penganalisis undang-undang antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga berkata kejayaan tersebut berjaya mengekalkan semangat negara-negara Asean untuk menyelesaikan sebarang konflik secara adik-beradik tanpa ada negara luar yang cuba mengambil kesempatan atas isu dihadapi di rantau ini.
“Jadi pada saya (peranan Malaysia )memang bagus sebab menunjukkan Malaysia cuba (0:25) mengekalkan dalam keadaan sekarang ini mengekalkan keadaan orang kata kepentingan utama Asean…Jadi saya mengucapkan tahniah, inilah peranan Malaysia yang paling baik, yang terbaik Malaysia pernah buat sepanjang menjadi pengerusi untuk tahun ini,” ujarnya lagi.
Terdahulu, kerajaan Amerika Syarikat menerusi kenyataan rasmi pada 28 Julai memuji kepimpinan Anwar dalam usaha membawa kedua-dua negara jiran itu ke meja rundingan yang akhirnya berjaya menghasilkan persetujuan gencatan senjata.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim atas kepimpinannya dan kerana menjadi tuan rumah kepada rundingan gencatan senjata.
“Kami menggesa semua pihak agar mematuhi komitmen masing-masing,” menurut kenyataan Jabatan Negara AS itu.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa AS akan terus komited dan terlibat dalam proses damai yang dianjurkan bersama dengan Malaysia bagi menamatkan konflik tersebut.
Semalam, Anwar mempengerusikan mesyuarat khas selaku Pengerusi Asean yang diadakan di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat khas itu yang bermula 3 petang semalam.
Dalam sidang media bersama selepas mesyuarat itu, Anwar mengumumkan Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan memuncak di sepanjang sempadan belum dimuktamadkan antara kedua-dua negara.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang dalam pertikaian diplomatik membabitkan 817km sempadan belum ditanda sepenuhnya.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei lalu susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara dekat kawasan sempadan Preah Vihear dipertikaikan, mengakibatkan seorang anggota tentera Kemboja terkorban.
Kos harga tenaga dijangka melonjak susulan krisis di Asia Barat: Bank Dunia
Peniaga lesap RM610,000 terjerat pelaburan palsu
AGC tolak permohonan Namewee, kes dadah diteruskan: Laporan
Projek RM1.1 bilion: Bekas pembantu Rafizi sambung beri keterangan esok
Krisis politik Negeri Sembilan: Persatuan peniaga bimbang ekonomi negeri terjejas
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan