Kerajaan menanggung subsidi bahan api demi kepentingan rakyat.
Mekanisme baharu untuk skim subsidi bahan api BUDI95 bagi pemandu e-hailing dijangka diumumkan oleh Kementerian Kewangan dalam masa terdekat, sama ada minggu ini atau beberapa minggu akan datang.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini dan menjelaskan kerajaan sedang dalam proses akhir mengkaji mekanisme tersebut bagi memastikan tiada pihak yang tercicir.
“Mengenai e-hailing, sememangnya kerajaan telah menyatakan komitmen untuk menambah jumlah liter subsidi bagi mereka. Namun, mekanismenya masih dalam kajian,” jelas Hui Ying.
“Kemungkinan dalam beberapa minggu atau bahkan minggu ini, Kementerian Kewangan akan membuat pengumuman rasmi,” tambahnya.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada soalan daripada Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, yang mempersoalkan layanan saksama antara pemandu e-hailing dan teksi.
Abdul Latiff membandingkan jumlah subsidi bahan api bulanan yang diterima pemandu e-hailing iaitu tambahan 300 liter, berbanding kuota penuh 1,400 liter untuk pemandu teksi, meskipun kedua-dua bidang pekerjaan itu mempunyai persamaan dari segi operasi.
Sebelum ini, Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa pemandu e-hailing layak mendapat tambahan kuota BUDI95 berkuat kuasa 15 Oktober lepas.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan turut menegaskan kelayakan tambahan itu akan ditentukan berdasarkan penggunaan bahan api sebenar pemandu e-hailing dan p-hailing.
Skim subsidi BUDI95 yang dilaksanakan secara berperingkat mulai 27 September lalu membenarkan semua pemegang lesen memandu warganegara Malaysia membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter dengan had 300 liter sebulan.
Sementara itu, pemandu warga asing yang memandu kenderaan tempatan perlu membayar harga pasaran tanpa subsidi.
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan