Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
1. Apakah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025?
Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866] (ONSA) ialah undang-undang baharu yang bertujuan mewujudkan persekitaran Internet yang lebih selamat untuk semua di Malaysia dengan meletakkan tanggungjawab yang lebih jelas ke atas pemberi perkhidmatan bagi melindungi orang awam, khususnya kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan, daripada kandungan memudaratkan dalam talian.
2. Kepada siapakah undang-undang ini terpakai? Adakah ia terpakai kepada pengguna biasa?
ONSA terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] (Communications and Multimedia Act 1998 (CMA 1998)), iaitu Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (Applications Service Provider (ASP)), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (Content Applications Service Providers (CASP)) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (Network Service Providers (NSP)) (dirujuk secara kolektif sebagai Pemberi Perkhidmatan Berlesen).
Semua tanggungjawab kawal selia di bawah ONSA dikenakan ke atas Pemberi Perkhidmatan Berlesen. Akta ini tidak terpakai terhadap pengguna individu.
3. Pemberi perkhidmatan manakah yang dianggap sebagai pemegang lesen di bawah kerangka pelesenan sedia ada?
Di bawah kerangka pelesenan semasa, pemberi perkhidmatan yang menawarkan pesanan Internet atau media sosial dengan lapan (8) juta lebih pengguna di Malaysia disifatkan sebagai pemegang lesen ASP(C). Oleh yang demikian, pemberi perkhidmatan ini tertakluk kepada keperluan kawal selia di Malaysia dan semua platform media sosial yang memenuhi kriteria perlesenan perlu mematuhi ONSA.
4. Mengapakah ONSA diperkenalkan?
Seiring dengan peningkatan penggunaan Internet, pengguna semakin terdedah kepada kandungan memudaratkan seperti eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, buli siber dan kandungan ekstremisme. ONSA diperkenalkan bagi menangani kandungan memudaratkan dengan menetapkan tanggungjawab yang jelas ke atas Pemberi Perkhidmatan Berlesen.
ONSA juga membantu membina keyakinan orang awam dengan memastikan Pemberi Perkhidmatan Berlesen mengambil tindakan untuk mencegah kemudaratan, mengesan dan menangani kandungan memudaratkan, serta memperkukuhkan keselamatan dalam talian untuk semua pengguna di Malaysia.
5. Apakah tanggungjawab Pemberi Perkhidmatan Berlesen di bawah ONSA?
ASP dan CASP yang dilesenkan dikehendaki mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan pengguna daripada kandungan memudaratkan dalam talian. Ini termasuk, antara lain, melaksanakan langkah bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan memudaratkan, mengeluarkan garis panduan keselamatan, menyediakan alat dan tetapan keselamatan dalam talian untuk pengguna, menyediakan sokongan kepada pengguna melalui perkhidmatan mereka, serta memudahkan pelaporan kandungan memudaratkan.
ASP dan CASP yang dilesenkan juga dikehendaki melaksanakan langkah bagi melindungi keselamatan dalam talian semua pengguna. Ini termasuk memastikan kandungan memudaratkan keutamaan seperti bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan kandungan berkaitan penipuan kewangan tidak dapat diakses oleh pengguna. Selain itu, ASP dan CASP yang dilesenkan dikehendaki menyediakan dan menerbitkan Pelan Keselamatan Dalam Talian yang menerangkan langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan.
NSP yang dilesenkan pula dikehendaki bekerjasama semasa siasatan dan menyediakan bantuan teknikal yang munasabah mengikut keupayaan mereka apabila diperlukan. Mereka juga perlu menyediakan maklumat serta membenarkan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap ONSA.
6. Apakah itu “kandungan memudaratkan” dan “kandungan memudaratkan prioriti” di bawah ONSA?
Di bawah ONSA, jenis kandungan memudaratkan disenaraikan dalam Jadual Pertama seperti berikut:
(a) Kandungan mengenai bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM);
(b) Kandungan mengenai fraud kewangan;
(c) Kandungan lucah;
(d) Kandungan sumbang;
(e) Kandungan yang boleh menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan;
(f) Kandungan yang boleh mengapi-apikan keganasan atau terorisme;
(g) Kandungan yang boleh mendorong kanak-kanak untuk menyebabkan kemudaratan kepada dirinya;
(h) Kandungan yang bersifat hasutan jahat atau permusuhan dan boleh mengganggu ketenangan awam; dan
(i) Kandungan yang menggalakkan penggunaan atau penjualan dadah berbahaya.
Daripada kategori ini, bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan kandungan berkaitan fraud kewangan dan scam diklasifikasikan sebagai “kandungan memudaratkan prioriti”. Kandungan ini mesti disekat secepat mungkin kerana kemudaratan serius yang timbul daripadanya.
7. Apakah perubahan yang akan dilihat oleh pengguna dalam ONSA?
Di bawah ONSA, pengguna boleh mengharapkan platform mengambil langkah keselamatan yang lebih konsisten dan seimbang terhadap keselamatan dalam talian. Ini termasuk maklumat dan garis panduan keselamatan yang lebih jelas, kaedah pelaporan kandungan memudaratkan yang lebih mudah, bantuan yang lebih responsif serta alat dan tetapan yang lebih baik untuk mengawal siapa yang boleh mencari, menghubungi atau berinteraksi dengan pengguna.
Bagi perkhidmatan yang berkemungkinan digunakan oleh kanak-kanak, perlindungan yang lebih kukuh dijangka dilaksanakan secara berperingkat. Ini mungkin merangkumi tetapan lalai (default setting) yang lebih selamat, perlindungan privasi yang lebih kukuh serta kawalan yang lebih baik terhadap interaksi.
8. Adakah ONSA mewajibkan Pemberi Perkhidmatan Berlesen yang relevan untuk menggunakan teknologi khusus bagi pengesahan umur?
Peruntukan-peruntukan utama dalam ONSA tidak mengehadkan jenis teknologi khusus yang perlu diguna oleh Pemberi Perkhidmatan Berlesen.
Namun pada waktu ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang meneliti pendekatan pengesahan umur, antara lain, dengan penggunaan dokumen rasmi Kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID, melalui proses sandbox yang melibatkan agensi berkaitan dan platform media sosial. Penilaian ini akan turut mengambil kira aspek keselamatan pengguna, perlindungan data peribadi, privasi, serta kesesuaian dalam konteks perundangan dan kawal selia Malaysia.
Penggunaan mekanisme pengesahan umur yang terbaik akan dimuktamadkan dalam instrumen subsidiari ONSA yang relevan.
9. Bagaimanakah ONSA membantu ibu bapa melindungi keselamatan anak-anak mereka dalam talian?
ONSA membantu ibu bapa dengan meletakkan keperluan bagi platform untuk menyediakan alat dan tetapan keselamatan yang lebih baik serta panduan yang lebih jelas. Ini termasuklah tetapan kawalan keselamatan untuk mengawal siapa yang boleh menghubungi kanak-kanak, mengurus jenis kandungan yang boleh diakses atau dicadangkan kepada mereka, garis panduan yang jelas mengenai penggunaan yang selamat, serta mekanisme bagi melaporkan kandungan memudaratkan dan bantuan pengguna.
10. Bagaimanakah rakyat Malaysia akan mendapat manfaat daripada ONSA?
ONSA membantu mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua di Malaysia, terutama kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan.
Platform media sosial akan bertindak lebih bertanggungjawab dan pantas terhadap kandungan memudaratkan, serta menyediakan piawaian keselamatan yang lebih jelas.
ONSA memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak, keluarga dan pengguna rentan, di samping memastikan Internet yang lebih selamat dan diyakini oleh seluruh rakyat Malaysia.