Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Zurkarnain Mohd Yasin.
Dakwaan inisiatif data telefon bimbit (MPD) bertujuan untuk pengawasan individu seperti didakwa segelintir pihak adalah tidak benar dan menyimpang daripada fakta sebenar, kata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Zulkarnain Mohd Yasin berkata program tersebut dijalankan dengan kerjasama badan antarabangsa dengan melibatkan pakar dalam teknologi maklumat tempatan yang bertujuan memahami cabaran dihadapi masyarakat secara lebih berkesan.
“PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ) telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Data Telefon Bimbit di bawah Jawatankuasa Pakar Data Raya dan Sains Data melibatkan lebih 50 ahli termasuk Malaysia daripada agensi antarabangsa, kerajaan, akademia dan sektor swasta.
“Inisiatif global ini menyerlahkan keperluan mendesak melangkaui kaedah statistik tradisional dan menerima pakai penyelesaian data yang inovatif bagi memahami serta menangani cabaran masyarakat dengan lebih berkesan,” katanya dipetik dalam laporan portal FMT hari ini.
Ujarnya, langkah itu berasaskan data raya (big data) digunakan secara agregat untuk menghasilkan pandangan makro bagi membantu perancangan pembangunan negara.
Menurutnya, projek itu masih di peringkat awal dan Jabatan Perangkaan (DOSM) akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan untuk penerangan lanjut selepas ini.
Jelasnya lagi, Pasukan Petugas Khas Data Telefon Bimbit PBB turut dianggotai antaranya Jepun, Brazil, Itali, Mexico, Arab Saudi dan Indonesia.
Zurkarnain menegaskan tuduhan tidak berasas tanpa usul periksa berhubung MPD boleh mengelirukan orang ramai selain berpotensi menjejaskan usaha negara membangunkan sumber data rasmi yang lebih tepat dan boleh dipercayai.
“Data rasmi lebih tepat membolehkan pengukuhan perancangan dasar awam dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Beliau turut menafikan data dikumpulkan mengandungi maklumat peribadi pengguna sebaliknya dalam bentuk agregat dan telah dinyah identiti sepenuhnya.
“Ia tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi atau yang boleh mengenal pasti individu,” katanya sambil menjelaskan tiada mekanisme pilihan masuk atau keluar terlibat kerana data digunakan sebahagian daripada operasi asas rangkaian mudah alih.
Katanya, pada peringkat awal data dijana secara automatik apabila peranti mudah alih berinteraksi dengan menara pemancar itu diproses serta dinyah identiti di syarikat telekomunikasi.
“Hanya selepas itu, data agregat telah dinyah identiti dikemukakan kepada DOSM dan SKMM.
“Tiada sebarang pemindahan data mentah atau maklumat pengguna dilakukan di luar premis MNO (pengendali rangkaian mudah alih ),” katanya.
Baru-baru ini, Presiden MCA Wee Ka Siong mendakwa tindakan kerajaan mengarahkan semua syarikat telekomunikasi menyerahkan data penuh pengguna telefon, antara lain mengganggu privasi serta membuka ruang salah guna maklumat.
Ada juga segelintir pihak cuba menggambarkan kerajaan sedang melakukan ‘pengintipan besar-besaran’ ke atas rakyat menerusi MPD.
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
Bil elektrik boleh turun hingga RM47 sebulan mulai Oktober: TNB
Sita kargo Israel, bukti Malaysia tak berkompromi: Zulkifli
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum