Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengulas berhubung isu melibatkan perjanjian dengan Arm Holdings.
Kerjasama bernilai lebih RM1 bilion antara kerajaan Malaysia dan syarikat reka bentuk semikonduktor global, Arm Holdings, dilaksanakan mengikut prosedur yang betul serta melalui proses kelulusan di peringkat tertinggi kerajaan.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, proses rundingan kerjasama itu bermula ketika Sidang Kemuncak KL20 Summit 2024 pada April 2024 semasa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan dua pertemuan dengan wakil syarikat teknologi tersebut.
Menurutnya, perbincangan itu kemudian diteruskan oleh bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagi memperincikan potensi kerjasama dalam sektor semikonduktor.
“Semasa acara KL20, wakil Arm telah berbincang dengan Perdana Menteri mengenai kerjasama yang boleh dibangunkan.
“Selepas itu, bekas Menteri Ekonomi meneruskan rundingan susulan,” katanya dalam satu hantaran video di media sosial pada Jumaat.
Akmal menjelaskan, wakil syarikat itu seterusnya bertemu Rafizi pada 21 November 2024 sebelum satu lagi pertemuan diadakan antara Arm Holdings dan Anwar pada 10 Februari 2025.
Beliau menegaskan keputusan untuk menjalin kerjasama tersebut bukan dibuat secara individu, sebaliknya diputuskan secara kolektif oleh Kabinet.
“Kerjasama dengan Arm Holdings diputuskan di peringkat pembuat keputusan tertinggi kerajaan, iaitu Jemaah Menteri,” katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan membuka kertas siasatan berhubung perjanjian mega antara kerajaan dan Arm Holdings yang dianggarkan bernilai RM1.11 bilion.
Siasatan dibuat selepas beberapa pertubuhan bukan kerajaan mengemukakan maklumat berkaitan dakwaan perjanjian itu dimeterai secara tergesa-gesa oleh Kementerian Ekonomi.
Rafizi pada Khamis turut mendedahkan Anwar memainkan peranan dalam mengatur pertemuan awal dengan syarikat berkenaan, termasuk meminta pasukannya menyusun pertemuan dengan gergasi semikonduktor itu.
Mengulas lanjut, Akmal berkata mesyuarat Kabinet telah membincangkan kerjasama tersebut sekurang-kurangnya dua kali, iaitu pada 24 Januari dan 28 Februari tahun lalu sebelum keputusan dimuktamadkan.
Menurutnya lagi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Kewangan Malaysia juga memberikan maklum balas terhadap perjanjian itu dan tidak membantah cadangan kerjasama berkenaan.
“Perbincangan agak panjang. MITI dan Kementerian Kewangan turut beri maklum balas serta menetapkan beberapa syarat tambahan untuk dimasukkan dalam perjanjian,” katanya.
Antara syarat yang ditetapkan termasuk klausa penamatan serta pelaksanaan bayaran secara berfasa bagi memastikan kepentingan kerajaan terus terpelihara.
Kesan krisis bekalan global dijangka dirasai sebulan dua lagi: Tengku Zafrul
Majikan diseru lebih prihatin terhadap pekerja: PMX
Global Sumud Flotilla: Nasib 10 aktivis Malaysia masih belum diketahui
Anwar rayu sokongan rakyat hadapi tekanan ekonomi
Ebit Lew diperintah bela diri kes gangguan seksual
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan