Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer menggesa Peguam Negara (AG) meneliti semula keputusan berkaitan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Rayer, persoalan timbul apabila prosiding terhadap Ahmad Zahid dihentikan ketika kerajaan pada masa sama giat memperkukuh usaha memerangi rasuah.
“Ini bukan dakwaan remeh kerana kes berkenaan sudah melalui perbicaraan yang panjang sebelum pihak pendakwaan akhirnya menghentikan prosiding dan mengumumkan tiada tindakan lanjut diambil,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Pada Januari lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil terhadap 47 pertuduhan berkaitan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Rayer berkata, gesaan itu bukan bertujuan menentukan kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya mahu memastikan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang terus dipelihara.
“Jika kerajaan benar-benar serius dalam memerangi rasuah, tidak boleh wujud satu standard untuk lawan politik dan satu lagi standard untuk sekutu politik.
“Saya meminta Peguam Negara mendedahkan sebanyak mungkin alasan perundangan serta asas bukti yang dibenarkan oleh undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya bukti dan kedudukan undang-undang mengkehendakinya, tindakan sewajarnya perlu diambil bagi menghidupkan semula atau meneruskan perkara berkenaan mengikut lunas undang-undang.
Rayer turut meminta Peguam Negara menjelaskan kebimbangan orang ramai mengenai perbezaan antara tindakan tegas kerajaan terhadap kes rasuah lain dengan keputusan menutup kes Ahmad Zahid.
“Usaha membanteras rasuah tidak boleh dilakukan secara terpilih. Keadilan tidak boleh memihak dan kedaulatan undang-undang tidak boleh bergantung kepada siapa pelakunya.
“Jika kerajaan mahu meyakinkan rakyat era pendakwaan terpilih sudah berakhir, prinsip itu mesti dibuktikan secara konsisten,” katanya.
Kes Yayasan Akalbudi menjadi perhatian selepas Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan sebelum pihak pendakwaan pada 2023 memohon agar semua pertuduhan terhadapnya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA). Bagaimanapun, keputusan NFA oleh AGC pada Januari lalu menutup ruang pendakwaan semula berdasarkan perkembangan ketika itu.
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
Mat Sabu: Jadikan krisis Negeri Sembilan pengajaran buat pengundi PRN Melaka
PH umum calon PRN Melaka minggu depan
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum