Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh sekali lagi menyindir DAP sambil menegaskan bahawa Pemuda UMNO akan terus berperanan sebagai “loceng kecemasan” jika mana-mana pihak melanggar perkara asas melibatkan agama, bangsa dan institusi Raja-raja Melayu.
Berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025, Akmal berkata sayap parti itu tidak akan berkompromi dalam isu berkenaan walaupun UMNO kini berada dalam satu gabungan kerajaan bersama parti lain.
“Walaupun kita duduk dalam satu pasukan, kita boleh berkawan. Tapi kalau kamu sentuh agama kami, bangsa kami dan Raja-raja kami, mari berdepan dengan Pemuda UMNO. Tak kira kamu menteri atau siapa sekali pun,” katanya.
“Pemuda UMNO tidak akan menyerah, sampai bila-bila,” tambahnya lagi.
Dengan nada yang lebih terbuka, Dr Akmal turut mengingatkan kepimpinan UMNO supaya berani menerima hakikat bahawa kepercayaan rakyat terhadap parti itu masih belum pulih sepenuhnya, meskipun UMNO kembali berada dalam kerajaan.
Menurutnya, krisis kepercayaan itu tidak boleh lagi disembunyikan dan mesti dihadapi secara jujur jika parti benar-benar mahu bangkit semula.
“UMNO sedang berdepan dengan krisis kepercayaan rakyat. Setuju atau tidak, inilah realiti. Kita tak boleh asyik pujuk diri sendiri konon masih ada masa,” katanya.
Beliau mengakui pelbagai usaha telah dilakukan termasuk prestasi menteri, menteri besar dan ketua menteri daripada UMNO, namun ia masih belum cukup untuk memulihkan keyakinan rakyat di peringkat akar umbi.
Dalam ucapannya, Akmal turut mempertikaikan dakwaan DAP telah berubah meskipun bekerjasama dengan UMNO dalam kerajaan perpaduan.
“Saya tak pernah dengar DAP puji UMNO. Tak pernah dengar mereka kata Presiden UMNO ini baik. Yang saya dengar, bila Presiden UMNO dapat NFA, mereka terus kutuk dan caci,” katanya merujuk kepada Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, beliau menggesa perwakilan agar berani bercakap benar dalam perhimpunan, walaupun pahit, demi masa depan UMNO.
“Kalau kita nak kembalikan kepercayaan rakyat, kita kena bercakap dalam bahasa rakyat dan suarakan apa yang mereka rasa. Walau pahit, itu kebenaran yang kita wajib telan,” katanya.
Kes saman Rosmah: Saksi dedah wang, barang kemas bertaburan dalam serbuan Pavilion
Rosmah nafi hilangkan barang kemas dari Lubnan
AMK Johor cadang tangguh PRN, fokus bantu rakyat hadapi krisis
PKR Titiwangsa cadang kuota subsidi diesel kepada pengguna persendirian
Samsuri sahkan pengunduran Hamzah sebagai Ketua Pembangkang
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan