Nurul Izzah menghulur tangan untuk berdamai dengan Rafizi.
Semua ahli PKR diajak untuk membina kembali kekuatan selepas berakhir pemilihan baru-baru ini, itu amanat yang disampaikan Timbalan Presiden baharu, Nurul Izzah Anwar.
Nurul Izzah mahu semua ahli parti melupakan percakaran dan perbalahan sepanjang pemilihan PKR dan mengajak rakannya, Rafizi Ramli yang tewas untuk berdamai semula.
“Mari kita bina kembali kekuatan ini. Kalau ada yang retak, kita satukan. Kalau ada yang renggang, kita dekatkan.
“Bersama, kita mampu membawa reformasi sebenar dari hati, untuk rakyat… saya mewakili semua, sama ada yang mengundi saya, mahupun saudara Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli) amatilah amanat ini,” katanya melalui muat naik di Facebook.
Tambah beliau, Anwar Ibrahim yang juga bapanya selaku Presiden PKR kini memegang amanah sebagai peneraju kerajaan, sedang memikul tanggungjawab besar mengemudi negara dalam era penuh ketidaktentuan, di tengah percaturan kuasa dunia seperti perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).
Maka, katanya dalam keadaan ini, peranan Timbalan Presiden menjadi lebih kritikal untuk memperkukuh parti, memastikan urus tadbir dalaman berada pada landasan kukuh, agar Presiden dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran negara.
“Antara langkah pertama saya, ialah memperkenalkan sebuah program universal untuk semua cabang, satu inisiatif menyeluruh bagi memperkasa jentera akar umbi.
“Program ini akan memfokuskan kepada strategi meningkatkan jumlah penyokong, pendekatan efektif mendekati rakyat, serta cara terbaik membantu komuniti di kawasan masing-masing.
“Kita tidak boleh membiarkan pahlawan kita berjuang tanpa kekuatan. Kita akan pastikan setiap jeneral dan pahlawan parti, dari cabang hingga ke pusat, dilengkapi dengan kekuatan yang cukup (dari segi) ilmu, sumber dan semangat juang bagi menghadapi medan tempur politik yang mendatang,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi mandat dan kepercayaan kepada beliau sehingga dipilih sebagai Timbalan Presiden.
“Hakikatnya, kemenangan bukanlah waktu untuk bersorak atau bersenang lenang. Ia adalah waktu untuk bekerja dengan lebih keras dan lipat gandakan usaha – untuk turun padang, mendengar, menyingsing lengan dan kembali ke medan ‘tempur lawan sebenar’.
“Kita tidak punya banyak masa. Jangan sia-siakan setiap peluang dan setiap saat yang kita ada,” katanya.
PN bakal muktamad pindaan perlembagaan minggu depan: Muhyiddin
Bos Mydin bidas Ahli Parlimen DAP: “Lu Siapa?”
PAS sudah ada calon Pengerusi PN: Hadi
Laporan: PAS gagal kemuka calon baharu pengerusi PN?
PAS ragui cadangan ‘kolaborasi agung’ dibawa UMNO, enggan menyokong
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong