Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menggesa Pakatan Harapan (PH) menilai semula kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) susulan keputusan gabungan itu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohamad Shahrul Adnan berkata perkembangan itu menimbulkan persoalan sama ada kerjasama antara PH dan BN masih relevan, sekali gus menggesa satu penilaian dibuat berdasarkan landskap politik semasa.
“Jika BN bebas bekerjasama dengan PN untuk menentang PH di Johor dan Negeri Sembilan, mengapa PH perlu terus menganggap kerjasama dengan BN sebagai sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan?
“Kerjasama politik mestilah dibina atas dasar saling menghormati, kepercayaan dan komitmen. Ia tidak boleh berubah-ubah mengikut musim pilihan raya atau kepentingan politik semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Shahrul menjelaskan gesaan itu bukan bertujuan menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan mahupun pentadbiran PH di Selangor.
Sebaliknya, Shahrul berkata kepimpinan PH perlu melakukan penilaian secara jujur dan strategik terhadap bentuk kerjasama politik dengan BN berdasarkan perkembangan politik semasa.
“Sudah tiba masanya PH Selangor mengkaji sama ada kerjasama dengan BN masih relevan dan memberi manfaat kepada perjuangan parti serta selari dengan aspirasi penyokong dan rakyat di Negeri Selangor,” katanya.
Kenyataan itu hadir ketika hubungan PH dan BN dilihat semakin tegang susulan keputusan BN menjalinkan kerjasama pilihan raya dengan PN di beberapa negeri, walaupun kedua-duanya kekal bersama dalam Kerajaan Persekutuan.
Bagi PRN Negeri Sembilan, BN dan PN bersetuju menyokong calon masing-masing di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menentang PH.
Pendekatan sama turut diambil pada PRN Johor, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pemimpin PH mengenai hala tuju kerjasama politik antara kedua-dua gabungan itu.
Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022 dengan penyertaan PH, BN serta beberapa gabungan dan parti lain.
Namun, landskap kerjasama di peringkat negeri berbeza mengikut keperluan dan strategi politik setempat.
Fahmi: Jangan berhenti, perjuangan rakyat mesti diteruskan
Majoriti perwakilan DAP sokong kekal dalam Kerajaan Perpaduan hingga habis penggal
Akta Tabung Haji akan dipinda, amanah umat Islam jadi keutamaan
DAP pilih kestabilan, hormati keputusan Anwar kekalkan BN
Hubungan dengan Zahid masih baik, Anwar pilih kestabilan pertahan Kerajaan Perpaduan
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri