Anwar bentang Belanjawan 2027 petang ini, kos sara hidup jadi fokus

October 9, 2026 · Isu semasa

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim, dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada pukul 3.30 petang ini dengan tumpuan kepada kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Belanjawan MADANI kelima itu membawa aspirasi memastikan hasil pembangunan negara dapat dinikmati secara lebih adil oleh semua lapisan masyarakat, selain meningkatkan taraf hidup dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Menerusi hantaran di platform X, Anwar berkata belanjawan kali ini akan meneruskan usaha membangunkan ekonomi negara tanpa mengabaikan keperluan rakyat.

“Insya-Allah petang ini saya akan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, dengan aspirasi untuk ‘menggapai di langit serta mengakar di bumi’,” katanya.

Beliau turut mengajak orang ramai mengikuti pembentangan itu secara langsung menerusi saluran televisyen dan platform digital utama.

Belanjawan 2027 merupakan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), dengan kesinambungan agenda Ekonomi MADANI yang berteraskan tiga tonggak utama, iaitu meningkatkan pertumbuhan ekonomi, menaikkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh tatakelola pentadbiran negara.

Menurut Kementerian Kewangan menerusi kenyataan prabelanjawan, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan hasil pelaksanaan reformasi struktur, termasuk konsolidasi fiskal dan penyasaran subsidi, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan global.

Antara fokus utama yang digariskan ialah usaha menangani kos sara hidup menerusi bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan BUDI MADANI, merapatkan jurang pembangunan wilayah serta memperkukuh perlindungan sosial untuk pekerja gig.

Kerajaan turut memberi perhatian kepada persediaan menghadapi status negara menua menjelang 2030, selain meningkatkan mutu perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

Agenda pembaharuan turut merangkumi transformasi sektor awam berasaskan teknologi atau GovTech, pelaksanaan gaji bermaruah, pemerkasaan usahawan tempatan melalui pendekatan “Made by Malaysia” serta menarik pelaburan bernilai tinggi dalam sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).

Pembentangan belanjawan kali ini juga dijangka menjadi medan penting untuk kerajaan memperincikan langkah memperkukuh daya tahan ekonomi dan memastikan manfaat pertumbuhan dapat dirasai rakyat, khususnya ketika tekanan kos sara hidup masih menjadi perhatian.

Selepas pembentangan, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dijadual dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula minggu hadapan.

Sesi penggulungan oleh kementerian berkaitan dijadual berlangsung dari 26 hingga 29 Oktober, sebelum perbahasan peringkat jawatankuasa bermula pada 2 November hingga 26 November dan rang undang-undang itu diproses untuk kelulusan Dewan Rakyat.

Pembentangan Belanjawan 2027 akan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai saluran televisyen tempatan dan platform digital, manakala Bernama TV turut menyediakan kupasan Analisis Belanjawan 2027 pada pukul 8.30 malam ini.

Berita berkaitan
Syed Saddiq kekal rekod hadir penuh Parlimen, tidak pernah ponteng
6 jam lalu· Politik
Belanjawan 2027 dijangka pacu pelaburan berkualiti: MIDA
10 jam lalu· Isu semasa
AMK: GPS, GRS sanggup terima PM daripada PAS?
12 jam lalu· Politik
Belanjawan 2027: Bantuan RM80 bilion lindungi kuasa beli rakyat
17 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Pempengaruh digesa jangan eksploitasi isu 3R demi populariti: Yuneswaran
6 jam lalu · Isu semasa
Belanjawan: M40 nikmati pelepasan cukai lebih tinggi tahun depan
6 jam lalu · Isu semasa
KWSP perkenal potongan zakat dividen Simpanan Syariah
10 jam lalu · Isu semasa
Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak hadir Mesyuarat Majlis Raja-Raja
10 jam lalu · Isu semasa
Pindaan akta melibatkan pemandu mabuk dibentang awal tahun depan
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok