PKR Perak harap PMX Anwar kekal bertanding di kerusi Tambun.
PKR Perak berharap Anwar Ibrahim terus mempertahankan kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) bagi memperkukuh pengaruh parti dan membantu Pakatan Harapan (PH) meraih lebih banyak kemenangan di negeri itu.
Pengerusi PKR negeri, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, kehadiran Perdana Menteri di Perak penting untuk membina momentum sokongan rakyat seperti yang berlaku pada PRU15 lalu.
“Kami di Perak memang memerlukan Anwar untuk terus kekal di sini bagi membantu kami memenangi lebih banyak kerusi pada PRU16 akan datang,” katanya selepas merasmikan ibu pejabat baharu PKR Perak di Meru.
Beliau berkata, masih terlalu awal untuk menentukan lokasi Anwar akan bertanding kerana Presiden PKR itu kebiasaannya hanya membuat keputusan beberapa bulan sebelum pilihan raya.
Sebelum ini timbul spekulasi Ahli Parlimen Tambun itu mungkin berpindah kerusi dan bertanding sama ada di Pulau Pinang atau Putrajaya pada PRU akan datang.
Pada PRU-15, Anwar mencipta kejutan apabila menawan Tambun dengan majoriti 3,736 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Kemenangan itu dianggap simbolik kerana beliau berjaya menewaskan Ahmad Faizal Azumu yang ketika itu merupakan tokoh utama Perikatan Nasional di Perak.
Mohamad Hairul berkata, Tambun bukan sekadar kerusi pilihan raya, sebaliknya menjadi pusat untuk membina kekuatan PKR dan PH di wilayah utara.
“Bagi beliau, ia bukan soal kerusi selamat atau tidak. Apabila beliau datang ke Tambun sebelum ini, matlamatnya ialah membina momentum supaya kita dapat memenangi lebih banyak kerusi di Perak dan menyumbang kepada kemenangan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menafikan dakwaan berlaku pergolakan serius dalam PKR Perak susulan peletakan jawatan beberapa pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tanjung Malim baru-baru ini.
Katanya, situasi itu tidak menjejaskan kekuatan parti kerana majoriti pimpinan cabang masih kekal menjalankan tugas seperti biasa.
“Jumlah yang terbabit sangat kecil berbanding keseluruhan keahlian PKR di Perak yang melebihi 100,000 orang,” katanya.
Bersatu jawab kritikan PAS, tegaskan semua isu patut dibincang dalam gabungan
DAP sokong cadangan bubar DUN Negeri Sembilan
Isu agama dan kaum dimainkan Akmal beri beban kepada kerajaan: Rafizi
PKR Johor bidas bekas ahli berterusan serang dan burukkan parti
PAS muktamadkan hala tuju hubungan dengan Bersatu pada masa terdekat: Takiyuddin
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi