
Anwar Ibrahim Club (AIC) merakamkan penghargaan dan kebanggaan terhadap pengiktirafan antarabangsa yang diterima oleh YAB Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, atas peranan penting beliau dalam usaha pendamaian antara Thailand dan Kemboja.
Sebagai pemimpin negara dan Pengerusi Asean, Perdana Menteri bukan sahaja berjaya membawa dua negara jiran ke meja rundingan, malah turut mempamerkan keberanian moral dan kepimpinan berprinsip dalam menjunjung semangat diplomasi, rundingan dan nilai kemanusiaan.
Penghargaan terbuka daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, China, Jepun, Australia, Belanda, Kesatuan Eropah dan Pakistan serta rakan serantau seperti Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, dan Brunei membuktikan bahawa dunia mengiktiraf peranan Malaysia sebagai kuasa sederhana yang berwibawa diterajui oleh sosok kepimpinan yang berintegriti dan dihormati.
AIC percaya bahawa kejayaan ini adalah manifestasi kepada dasar luar negara yang matang, berpandangan jauh dan berani menyuarakan kebenaran.
Sehubungan itu, AIC menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdiri teguh di belakang YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, demi memastikan suara Malaysia kekal dihormati dan relevan di peringkat serantau dan global.
Kepimpinan yang membawa suara damai, memperjuangkan keadilan dan menjunjung nilai kemanusiaan, inilah wajah Malaysia
MADANI yang menjadi kebanggaan dunia.
*Anwar Ibrahim Club (AIC) merupakan sebuah komuniti penyokong dan pemerhati politik yang memberi tumpuan kepada perjalanan politik serta kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-10, Anwar Ibrahim.
*Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian Agenda Daily dan adalah pandangan peribadi penulis.
Berita tepat dan menyeluruh.