Harris Idaham Rashid.
Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu mendakwa isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang disifatkan telah lama reda sengaja dihangatkan kembali oleh DAP demi kepentingan politik sempit.
Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid, berkata Armada kekal dengan pendirian tegas menolak pengiktirafan UEC untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam, perkhidmatan awam serta sektor berkaitan.
Menurutnya, kebangkitan semula isu berkenaan didakwa ada kaitan dengan prestasi buruk DAP dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, yang dilihat sebagai usaha meyakinkan masyarakat Cina bahawa parti itu masih konsisten dengan agenda asalnya.
“Kerajaan perlu berhati-hati dan tidak terperangkap dengan taktik politik yang hanya ‘playing to the gallery’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Harris Idaham turut mengaitkan pendekatan itu dengan sikap kepimpinan DAP sebelum ini, termasuk kenyataan Pengerusi parti berkenaan yang pernah mengkritik Ahli Parlimen Penampang, Ewon Benedick, ketika UPKO mengambil keputusan meninggalkan gabungan kerajaan terdahulu.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh identiti nasional, khususnya dalam kalangan generasi muda yang menurutnya berdepan tahap penguasaan Bahasa Malaysia yang membimbangkan.
Katanya, pengiktirafan UEC berpotensi mendorong sebahagian pelajar Cina menganggap Bahasa Malaysia sekadar keperluan untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus melemahkan usaha memupuk semangat patriotisme.
“Untuk membina jati diri dan semangat kebangsaan yang kukuh, sistem pendidikan negara perlu bergerak seiring arus perdana dan tidak wajar mengiktiraf sistem pendidikan swasta yang berada di luar kerangka nasional,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan Armada menyokong aspirasi menjadikan Malaysia sebuah masyarakat trilingual dengan penguasaan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris serta Mandarin atau bahasa lain, selari dengan keperluan daya saing global.
“Keupayaan menguasai pelbagai bahasa memberi kelebihan dalam pasaran pekerjaan dan memudahkan urusan perniagaan dengan kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat,” katanya.
Bagaimanapun, tegas Harris Idaham, sokongan terhadap masyarakat trilingual tidak bermaksud Armada bersetuju dengan pengiktirafan UEC sebagai jalan mencapai matlamat tersebut.
SPR nafi tarikh PRU-16 tular
Najib teruskan rayuan hina mahkamah isu titah adendum
AMK: Kenyataan PM berhubung kesan ekonomi global perlu dipandang serius
Rumah bangsa UMNO terima respons positif: Mat Maslan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan