Bantuan kepada pemandui teksi sebelum Deepavali.
Lebih 80 peratus pemandu teksi dan kereta sewa yang layak dijangka menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,000 sebelum sambutan Deepavali Ahad ini.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembayaran bantuan berkenaan sedang dilaksanakan secara berperingkat menerusi beberapa kaedah bagi memastikan semua penerima yang layak mendapat bantuan itu.
Menurut APAD, berdasarkan rekod kad pemandu yang masih aktif sehingga 30 September lalu, seramai 15,062 pemandu teksi dan kereta sewa dikenal pasti layak menerima bantuan berkenaan.
Daripada jumlah itu, seramai 2,619 pemandu sudah menerima bantuan menerusi baucar tunai Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi tempoh 14 Oktober hingga 2 November lalu.
Pembayaran berkenaan membabitkan pemandu yang dijemput menghadiri majlis penyerahan bantuan di Putrajaya, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Kedah.
Sementara itu, pembayaran kepada 12,033 pemandu lain mula dilaksanakan pada 4 November menerusi pindahan terus ke akaun bank yang didaftarkan menggunakan akaun Sumbangan Tunai Rahmah (STR), selain pembayaran tunai di kaunter.
“Pemandu boleh menyemak status pembayaran melalui akaun bank masing-masing atau Portal Bantuan Khas Kewangan menerusi bantuanpemandu.mot.gov.my,” menurut kenyataan itu.
Bagi pemandu yang memperbaharui kad pemandu selepas 30 September hingga 25 Oktober lalu, APAD sedang melaksanakan proses pengemaskinian dan pengesahan data.
Pembayaran kepada kumpulan itu dijangka bermula 11 November menerusi pindahan terus ke akaun bank atau pembayaran tunai di kaunter.
Dalam perkembangan sama, APAD memaklumkan bantuan RM1,000 kepada kira-kira 7,228 pemandu bas sekolah turut dijangka disalurkan dalam masa terdekat menerusi pindahan terus ke akaun bank masing-masing.
Status kelayakan pemandu yang didaftarkan boleh disemak oleh pemandu atau syarikat menerusi Portal Bantuan Khas Kewangan mulai minggu kedua November.
Inisiatif itu merupakan sebahagian usaha Kerajaan MADANI menghargai sumbangan pengusaha dan pemandu pengangkutan awam darat, selain membantu meringankan tekanan kewangan golongan berkenaan susulan peningkatan kos sara hidup.
APAD turut memberi jaminan akan terus menyelaras pembayaran bersama pihak berkaitan bagi memastikan bantuan disalurkan kepada semua penerima yang layak secara teratur dan lancar.
Kes dadah TUDM: Kabinet akan bincang kawalan keselamatan pangkalan udara
Penempatan Rohingya: Media antarabangsa lapor kerajaan Turkiye nafi kenyataan Zahid
Penjara terlebih kapasiti, hampir 25,000 banduan dibebas secara lesen
Lima syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia
Eksekutif rugi RM617,000 diperdaya pelaburan aksesori kereta
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan