Perdana Menteri Anwar Ibrahim berucap semasa Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Sembilan di Dataran Nilai hari ini.
Program Madani Rakyat (PMR) memainkan peranan penting sebagai platform penyampai maklumat mengenai inisiatif dan usaha kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, mengukuhkan ekonomi negara serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata PMR berfungsi sebagai saluran komunikasi langsung antara kerajaan dengan rakyat, sekali gus membuktikan komitmen jentera kerajaan dalam melaksanakan transformasi positif sektor perkhidmatan awam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara kejayaan besar kerajaan yang perlu diketahui rakyat termasuklah kenaikan gaji penjawat awam secara signifikan yang dilaksanakan tahun ini dan akan datang, selain pelaksanaan wajib gaji minimum di semua agensi kerajaan dan syarikat swasta.
“Kerajaan MADANI yang pertama menurunkan harga minyak kepada RM1.99, berani menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,700 serta memastikan agensi kerajaan, syarikat kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memberikan gaji minimum dengan kadar RM3,100 sebulan,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian PMR Negeri Sembilan di Dataran Nilai hari ini.
Perdana Menteri menyatakan harapan supaya rakyat dapat memanfaatkan sepenuhnya program PMR untuk memahami setiap inisiatif kerajaan yang dilaksanakan.
“Melalui MADANI Rakyat, saksikan sendiri apa yang dilakukan oleh Kementerian Digital. Kehadiran KSN juga membuktikan komitmen terhadap perubahan dalam perkhidmatan awam. Saya menyeru semua pihak agar menggunakan peluang ini untuk menimba maklumat selengkapnya.
“Masih terdapat pihak yang menyebarkan naratif negatif di Parlimen dengan mendakwa kerajaan ini hampir tiga tahun berkuasa, tetapi tidak melakukan apa-apa. Justeru, KSN diminta memastikan semua program MADANI Rakyat didedahkan secara meluas agar rakyat dapat menilai sendiri keberkesanannya,” kata Anwar.
PMR Negeri Sembilan yang dibuka kepada orang ramai sejak semalam menawarkan pelbagai aktiviti menarik bertemakan pendigitalan dalam usaha mendekatkan rakyat dengan agensi-agensi kerajaan.
Program bertemakan “Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti” ini diterajui oleh Kementerian Digital dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi serta kerajaan Negeri Sembilan selaku tuan rumah.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
Tiga maut dilanggar lori imigresen terbabas: Polis tahan dua pemandu
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri