Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas wartawan Harian Metro, Ahmad Ismail.
Seorang bekas wartawan Harian Metro menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA dalam satu kunjungan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, di kediamannya di Segamat, Johor hari ini.
Ahmad Ismail, 67, yang menabur bakti selama 25 tahun dalam dunia kewartawanan, kini berdepan pelbagai masalah kesihatan termasuk kencing manis dan tekanan darah tinggi sejak 2012.
Keadaannya semakin mencabar apabila beliau turut menghidap penyakit saraf serta masalah tulang rawan tergelincir sejak 2018.
Fahmi berkata, sumbangan itu adalah tanda penghargaan terhadap jasa pengamal media yang pernah menyumbang kepada industri.
“Kerajaan melalui inisiatif ini mahu memastikan kebajikan rakan media terus terpelihara, terutama mereka yang berdepan kesukaran selepas bersara,” katanya ketika ditemui.
Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, dan diperkenalkan pada 2023 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
Inisiatif ini diwujudkan bagi membantu pengamal media yang memerlukan sokongan kewangan, khususnya mereka yang uzur atau berdepan kesempitan hidup.
Sejak dilancarkan, tabung berkenaan telah memberi manfaat kepada lebih 700 pengamal media di seluruh negara, sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan komuniti kewartawanan.
Ahmad, yang ditemui dalam keadaan uzur, melahirkan rasa terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas bantuan ini. Ia sedikit sebanyak meringankan beban saya,” katanya.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Abdul Halim Hamzah, serta Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaludin.
Bekalan makanan negara cukup untuk enam bulan: Zahid
Minyak dunia berisiko melonjak AS$140 setong: Goldman Sachs
Ringgit dibuka tinggi didorong jangkaan normalisasi OPR: Bernama
Johari: Kebergantungan pekerja asing perlu dikurangkan segera
Derma palsu guna visual AI, orang ramai diminta berwaspada
[VIDEO] BN dapat mandat penuh tapi isu rakyat Melaka tak selesai
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum