Bersatu persoal langkah tergesa-gesa mahu terima parti dikaitkan dengan Hamzah

May 23, 2026 · Politik

Ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin memuncak apabila Bersatu mempersoalkan keutamaan gabungan itu susulan desakan menerima parti baharu dan kumpulan dikaitkan dengan Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, sebagai komponen PN.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata sedang berusaha memulihkan kekuatan parti selepas berdepan krisis dalaman melibatkan Hamzah dan penyokongnya, PN sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh hubungan antara parti komponen sedia ada.

“Fokus PN apa pula? Adakah fokus PN ialah untuk memasukkan Hamzah dan Geng SD atau untuk menjaga hubungan sesama anggota PN demi mengukuhkan PN terlebih dulu?” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Isu itu tercetus selepas Presiden PAS, Abdul Hadi Awang secara terbuka meluahkan rasa tidak puas hati terhadap beberapa tindakan Bersatu ketika kedua-dua parti menjadi tonggak utama PN.

Beliau mendakwa PAS hampir hilang sabar dengan beberapa keputusan Bersatu termasuk keengganan menerima parti baharu menyertai gabungan tersebut.

Menurut Tun Faisal, kemasukan kumpulan dikaitkan dengan Hamzah boleh menimbulkan konflik terutama dalam pembahagian kerusi pilihan raya akan datang.

“Mereka nak ambil kerusi siapa? Sudah tentu Bersatu tidak akan beri kerusi Bersatu. MIPP pun masih belum ada kerusi,” katanya sambil mempersoalkan sama ada pihak yang menyokong kemasukan kumpulan itu sanggup melepaskan kerusi masing-masing.

Hubungan PAS dan Bersatu sebelum ini dilihat kukuh selepas kedua-duanya membentuk kerajaan bersama melalui PN pasca Langkah Sheraton pada 2020.

Namun, beberapa isu dalaman termasuk perebutan pengaruh dan strategi politik sejak kebelakangan ini dipercayai mula menjarakkan hubungan kedua-dua parti.

Antara isu dibangkitkan Abdul Hadi ialah pertukaran Menteri Besar Perlis, keengganan menerima parti baharu dalam PN serta tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri Bersatu di Negeri Sembilan yang menarik balik sokongan terhadap usaha menjatuhkan Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Bersatu kemudian memaklumkan kenyataan Abdul Hadi dipandang serius dan sebarang isu sepatutnya diselesaikan atas semangat setiakawan demi memastikan PN terus kukuh menjelang cabaran politik akan datang.

Berita berkaitan
Bersatu jawab kritikan PAS, tegaskan semua isu patut dibincang dalam gabungan
3 jam lalu· Politik
PAS muktamadkan hala tuju hubungan dengan Bersatu pada masa terdekat: Takiyuddin
May 23, 2026· Politik
ULASAN: Bila PAS mula berlagak jadi ‘abang besar’
May 23, 2026· Politik
MB Perlis tak tolak bubar DUN jika hilang sokongan wakil PAS
May 23, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
DAP sokong cadangan bubar DUN Negeri Sembilan
4 jam lalu · Politik
Isu agama dan kaum dimainkan Akmal beri beban kepada kerajaan: Rafizi
10 jam lalu · Politik
Rafizi berisiko kalah kerusi Pandan sama seperti di Gombak: AMK Pulau Pinang
11 jam lalu · Politik
AMK desak wakil rakyat PKR jelaskan kehadiran semasa program Rafizi
11 jam lalu · Politik
Tengku Zafrul diberi peranan baharu jaga kerusi Parlimen Pandan: Amiruddin
11 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok