Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan semula ia pasti akan memberi kesan besar kepada rakyat terbanyak khususnya orang termiskin, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata sistem cukai GST akan menyebabkan semua lapisan masyarakat dan perniagaan akan terkena tempias dan bakal memberikan kesan lebih besar terhadap kos sara hidup.
“GST ini anda kenakan cukai pada semua orang… walaupun ia efisien, lebih mudah tak payah pening-pening kepala, senang saja enam peratus semua bayar.
“Tapi saya nak tanya, kalau enam peratus itu semua kena bayar, mengapa orang miskin, orang menganggur kena bayar?”, kata beliau pada Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak hari ini.
Anwar berkata walaupun ada cadangan daripada pembangkang yang mengatakan bahawa GST lebih baik, kerajaan ketika ini mengambil pendirian untuk menangguhkannya kerana tidak mahu membebankan rakyat yang masih berhadapan dengan tekanan kos sara hidup.
“Sebab itu kita kata belum bersedia GST ini. Kalau esok ekonomi kita dah meningkat, gaji minima semua RM4,000 ke atas, cukailah GST pun. Jadi saya minta tangguh ini (GST), (jangan) dibuat jadi bahan politik,” katanya.
Sebaliknya, Anwar berkata kerajaan kini mengekalkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih bersasar, terutama ke atas barangan import mewah seperti buah avocado atau ikan kod yang lazimnya dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi.
“Pisang tempatan (Malaysia) tidak dikenakan cukai, tapi buah-buahan import yang mahal seperti avocado yang lazimnya dinikmati oleh orang berpendapatan tinggi, mereka yang ingin menikmatinya perlulah membayar lebih sikit. Begitu juga ikan kod yang juga diimport dan mahal, jadi kita cukailah,” kata beliau.
Justeru, Perdana Menteri menegaskan bahawa hasil kutipan cukai daripada barangan import dan mahal itu, akan dapat digunakan untuk membangunkan infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat termasuk hospital, sekolah serta sistem pertahanan negara.
Bagaimanapun Anwar berkata hasil cukai yang dikutip kerajaan bukan sekadar untuk menampung perbelanjaan operasi negara, tetapi ia juga bagi membiayai pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan yang memberi faedah secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata walaupun terdapat kelemahan dalam pelaksanaan SST, kerajaan sentiasa terbuka untuk menilai dan menambah baik sistem berkenaan secara menyeluruh demi kepentingan negara.
“… ada kelemahan dalam SST. Kita boleh bincang, kita tengok, kita perbaiki. Tetapi kena faham mengapa cukai dikenakan. Saya nak tanya (kenapa) hospital harus diperbaiki atau sekolah harus ditingkatkan keupayaannya?
“Sekarang ini ada kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, nak baiki jalan atau tidak… jadi kalau semua nak, wang itu nak ambil daripada mana? Dari cukailah. Jadi sebab itu kita usaha bawa pelaburan dan dapat (peluang) pekerjaan,” katanya lagi.
Gempa Batu Pahat, gegaran dirasai di enam kawasan sehingga ke Putrajaya
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
53 ditahan dalam Op Pedo 3.0, guru dan pembantu makmal antara suspek
Kes scam: Panik kena dakwa, wanita jual barang kemas RM500,000
1MDB mohon izin rayu keputusan libat firma guaman UK
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum