Pertandingan Ketua Wanita PKR: Rodziah Ismail (kiri) mencabar Fadhlina Sidek untuk berdebat.
Pelawaan untuk berdebat dibuat oleh Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail sempena Pemilihan PKR 2025 ditolak Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek.
Fadhlina memberi jawapan sama calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga menolak pelawaan debat dengan Rafizi Ramli sebelum ini atas alasan mahu menumpukan usaha memperkukuh parti dan memberi sokongan penuh kepada Presiden, Anwar Ibrahim.
“Jawapan saya sama dengan Nurul Izzah Anwar, tidak ada keperluan (berdebat). Sekarang ini fokus kami adalah untuk memperkukuhkan parti.
“Semua seruan itu yang kita sudah bawa bersama adalah untuk terus memperkukuhkan parti dan memberikan sokongan penuh kepada presiden parti kita,” katanya selepas program Temu Rapat Akar Umbi Negeri Sembilan/Melaka di Klana Resort malam tadi.
Selain Nurul Izzah, turut hadir Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Sebelum ini, Rodziah yang juga calon Timbalan Ketua Wanita PKR mempelawa Fadhlina untuk berdebat mengenai masa depan wanita termasuk strategi meningkatkan bilangan Ahli Parlimen wanita dalam parti itu.
Rodziah menyatakan pelawaannya itu ketika menyampaikan ucapan pada program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Kota Bharu, Kelantan pada 16 Mei lalu.
Untuk rekod, ini pusingan kedua pertembungan antara Rodziah dan Fadhlina apabila Fadhlina menang dengan majoriti 32 undi pada pemilihan parti 2022 iaitu 18,923 undi, berbanding 18,891 diperoleh Rodziah.
Mengulas lanjut, Fadhlina yang akan mempertahankan jawatan berkenaan berkata, berdebat itu suatu perkara yang baik jika ia diterjemahkan dalam konteks membahaskan isu dasar.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, ia memerlukan kefahaman dan suasana kondusif dan bukannya taasub.
“Dalam keadaan sekarang, kepentingan parti lebih utama terutama dari segi kesepaduan dan kekuatan, jadi debat itu bukan keutamaan kita ketika ini.
“Kita nak tumpu kepada akar umbi, berikan mereka keyakinan bahawa pemilihan kali ini adalah soal nak pastikan pimpinan yang mereka pilih itu adalah mereka yang benar-benar mampu membawa suara akar umbi ke arah memperkukuhkan serta memperkuatkan parti,” katanya.
Sementara itu, Fadhlina mahu terus berusaha memperkasakan lagi parti dengan menyasarkan pembabitan wanita dan anak muda sekurang-kurangnya 40 peratus.
Beliau berkata, sasaran itu penting dalam usaha membentuk dan membina wajah politik baharu.
Katanya, pihaknya dan Nurul Izzah sudah mengadakan perbincangan serta membentangkan sebahagian agenda untuk memperkukuhkan parti bagi kesinambungan perjuangan.
“Beliau (Nurul Izzah) bentangkan bahawa kita menyasarkan pembabitan anak muda dan wanita dalam PKR sebanyak 40 peratus.
“Saya fikir ini adalah gabungan inklusif dan sangat penting untuk negara ketika ini, kita memerlukan wajah politik baharu bagi meneruskan pengaruh serta peranan Keadilan dalam masyarakat di bawah mesej reformasi,” katanya
Hubungan dengan Zahid masih baik, Anwar pilih kestabilan pertahan Kerajaan Perpaduan
Kemiskinan, dadah ancaman sebenar orang Melayu: Saifuddin Nasution
RM2.58 bilion rugi, Syed Saddiq persoal pelaburan TH sampai ‘naik darah’
14 pembahas sokong DAP terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan
Aminuddin ambil tanggungjawab, sedia berundur
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri