
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Ketika negara berdepan dengan pelbagai isu geopolitik kritikal, termasuk kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat dan persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober 2025 yang akan dihadiri pemimpin dunia, gesaan berterusan pembangkang terhadap isu kehakiman dilihat sebagai tidak bertanggungjawab dan bersifat politik semata-mata.
Gesaan dibuat individu tertentu yang mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim bercuti tanpa alasan munasabah, malah dibimbangi akan mengganggu langkah pemulihan yang sedang direncanakan untuk rakyat.
Tuduhan campur tangan dalam institusi kehakiman yang dimainkan segelintir pihak hanya khabar angin dan tidak bersandarkan bukti yang sahih, ia kemudiaan digunakan pemain politik untuk mewujudkan sentimen buruk terhadap pentadbiran negara.
Baru-baru ini, pengasas bersama Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya mendesak Anwar untuk menjawab dakwaan kononnya Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat tidak disambung perkhidmatannya kerana satu ucapan yang disampaikannya di Malta.
Latheefa memetik ucapan seorang veteran politik sebagai alasan untuk membuat desakan tersebut yang kesahihan itu pula boleh dipersoalkan kerana tiada bukti dikemukakan terhadap tuduhan tersebut.
Malah, alasan digunakan Latheefa itu lemah kerana menggunakan sumber pihak ketiga yang ‘tiada locus standi’ dan lebih menjurus kepada khabar angin semata-mata.
Bukan itu sahaja, bekas menteri UMNO, Nazri Abdul Aziz juga tampil membidas Latheefa kerana tidak faham dan memutar-belit kenyataannya untuk memberi persepsi negatif terhadap Perdana Menteri.
“Bila dia sebut pelantikan hakim perlu bebas daripada campur tangan perdana menteri, bermakna dia nak beritahu perdana menteri sebelum ini termasuk yang melantik dia juga masuk campur urusan kehakiman?
“Dia kena ingat, perdana menteri itu dipilih oleh rakyat, jadi kena hormat orang yang dipilih oleh rakyat,” kata Nazri dipetik dalam sebuah portal sebelum ini.
Berhubung dakwaan kononnya wujud penglibatan Anwar dalam isu lantikan hakim kerana tindakan saman sivil dihadapinya juga dilihat persepsi atau tanggapan kosong semata-mata.
Adakah terlibat dalam saman sivil satu alasan munasabah untuk mencabar kedudukan seorang Perdana Menteri? Jika ya, maka ramai ahli politik dalam sejarah Malaysia termasuk mantan perdana menteri sebelum ini juga perlu mengambil cuti sewaktu disiasat atau menghadapi pertuduhan – tetapi mereka tidak pernah ditekan sedemikian oleh pembangkang ketika itu.
Konflik kepentingan sebenar hanya wujud sekiranya terdapat bukti bahawa Perdana Menteri mencampuri keputusan kehakiman secara langsung – sesuatu yang tidak berlaku. Tambahan pula, pelantikan hakim adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong setelah melalui proses berunding dengan Majlis Raja-Raja, bukan kehendak Perdana Menteri secara mutlak.
Sementara itu, Ketua Cabang PKR Tuaran, Razeef Rakimin turut mempersoalkan Latheefa yang mengeluarkan pandangan berat sebelah kerana hanya bersandarkan pandangan individu yang tiada kaitan langsung dengan proses pelantikan hakim.
“Kalau Latheefa boleh petik kenyataan Nazri Aziz untuk serang Anwar, dia akan petik. Tapi itu cuma pandangan peribadi, bukan pendirian rasmi kerajaan.
“Tuduhan berat tak boleh dibuat atas dasar pandangan sebelah pihak,” katanya.
Razeef juga berkata pembangkang khususnya PAS dilihat sanggup mempolitikkan apa sahaja termasuk isu kehakiman demi menjatuhkan kerajaan sebelum tamat penggal.
“Gesaan agar Perdana Menteri bercuti langsung tidak berasas. Saya tidak hairan jika PAS sertai perarakan Badan Peguam, kerana mereka akan tunggang apa saja yang boleh untuk kepentingan politik. Kalau agama pun mereka boleh tunggang, apatah lagi isu kehakiman,” katanya dipetik dalam sebuah portal.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah campur tangan dalam urusan pelantikan hakim dan komited mempertahankan kebebasan institusi kehakiman meskipun diasak dengan dakwaan tanpa bukti.
“Sebab itu penting untuk kita kekalkan kebebasan badan kehakiman. Tapi selagi ada ruang, pembangkang akan terus gunakan isu ini sebagai senjata politik,” katanya.
Negara memerlukan kestabilan politik dan fokus kerajaan yang jelas untuk menghadapi cabaran global. Gesaan pembangkang yang berterusan tanpa bukti hanya melemahkan kepercayaan awam terhadap institusi negara.
Rakyat Malaysia sepatutnya menilai isu ini secara rasional dan tidak terpengaruh dengan permainan politik murahan.
Ditulis: Editorial
Berita tepat dan menyeluruh.