Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Barangan penting rakyat tidak termasuk dalam senarai peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan lebih adil kepada rakyat, kata Amir Hamzah Azizan.
Menteri Kewangan II itu berkata SST berbeza dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sekiranya dilaksanakan ia akan lebih meluas dan memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk diperkenalkan semula.
“GST meluas. Ia memberi kesan kepada semua orang. Dengan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), ia bersasar. Barangan penting kepada rakyat, kita tidak kenakan tidak kenakan.
“Masa tidak mencukupi. Ia akan mengambil masa dua tahun sebelum ia boleh dilaksanakan. Dan apabila dilaksanakannya, GST akan dilaksanakan secara menyeluruh. Dari segi dasar, ia akan memberi kesan kepada semua orang,” katanya sebagai tetamu di Podcast KeluarSekejap.
Amir juga menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mengatakan GST bukan sistem yang baik, cuma sistem itu ‘bukan buat masa sekarang’.
Beliau berkata sebarang pembaharuan cukai mestilah pragmatik dan serasi dengan struktur ekonomi semasa Malaysia.
“Apabila kita mengenakan cukai, kita perlu bertanya: adakah hasil yang kita perolehi berbaloi dengan usaha?” tambahnya.
Khairy Jamaluddin semasa sesi wawancara itu berkata beliau boleh menerima jawapan Amir kerana beliau tidak mengatakan SST sememangnya lebih baik.
Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Putrajaya boleh mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai itu apabila ekonomi bertambah baik dan gaji minimum mencecah RM4,000 atau lebih.
Buat masa ini, kerajaan telah memperluaskan SST untuk meliputi lebih banyak barangan, dengan cukai 5% hingga 10% ke atas barangan bukan keperluan dan cukai perkhidmatan tambahan ke atas perkara seperti sewa, pembinaan, perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan dan pendidikan swasta.
Mengenai pengagihan bantuan kerajaan, Amir membuat perbandingan antara skim bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kerajaan perpaduan dan Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M pada zaman Najib Razak.
Beliau berkata BR1M paling tinggi mencecah RM1,200, manakala jumlah maksimum bantuan tunai yang boleh diterima oleh isi rumah di bawah STR dan SARA ialah RM4,600.
Kad UNHCR bukan lesen langgar undang-undang Imigresen
MCMC diminta sekat jualan dadah dalam talian: Fahmi
Zahid, Fahmi akan bawa isu PKD-NADI ke Kabinet sebulan lagi
Zahid nafi KKDW terlebih belanja projek jalan luar bandar
Jerebu makin teruk, KPM benarkan anak tak ke sekolah
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum