Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Pengerusi GRS, Hajiji Noor hadir semasa Kongres Nasional PKR 2026: Foto Bernama
Kehadiran Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka hari ini dilihat sebagai isyarat hubungan baik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan PKR.
Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud berkata, kehadiran Hajiji yang juga Pengerusi GRS pada majlis itu mencerminkan hubungan serta semangat kerjasama antara kepemimpinan Sabah dengan PKR.
Katanya, hubungan baik itu penting bagi memastikan agenda pembangunan dan kepentingan rakyat Sabah terus mendapat perhatian di peringkat Kerajaan Madani.
“Sebagai parti yang dipimpin Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, PKR mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif dan seimbang, termasuk mengambil kira keperluan serta keunikan setiap wilayah seperti Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha berkata, kerjasama antara GRS dan PKR tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut politik, sebaliknya perlu membawa manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Bagi PKR Sabah, kerjasama ini bukan semata-mata soal politik. Keutamaan kita ialah memastikan kestabilan dapat diterjemahkan kepada pembangunan, peluang ekonomi, kemudahan asas yang lebih baik serta penyelesaian terhadap isu yang dekat dengan kehidupan rakyat Sabah,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Ketua Menteri Sabah memaklumkan Hajiji hadir sebagai jemputan khas pada Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh.
Beliau hadir bersama beberapa pemimpin dan wakil rakyat GRS, termasuk Timbalan Ketua Menteri, Joachim Gunsalam; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Rubin Balang dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan serta Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan.
Kehadiran Hajiji pada kongres PKR itu turut memberi gambaran hubungan antara kepemimpinan GRS dan PKR kekal terbuka, khususnya dalam usaha memperkukuh kestabilan serta memastikan kepentingan Sabah terus diberi perhatian.
Zahid mahu jadi PM? Selesaikan dulu isu integriti – AMK
Jamil Khir didakwa tiga pertuduhan berkaitan kes aset TH
PAS tak perlu diuji, Sanusi bidas cadangan UMNO supaya lepaskan kerusi
Puad: Zahid mahu PRU-16 dipercepat kerana mahu jadi PM
Parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu hormati mandat diberi rakyat: Azman Abidin
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum