Penjelasan SInar Harian berhubung isu kesalahan infografik.
Susulan tular kesilapan infografik melibatkan Ketua Polis Negara (IGP) baharu Mohd Khalid Ismail, Sinar Harian hari ini mengumumkan sudah mengambil tindakan terhad kakitangan dan penyelia Unit Media Sosial mereka.
Dalam satu kenyataan, Sinar Harian berkata pihaknya turut membuat laporan polis bagi memaklumkan insiden tersebut dan memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut sekiranya perlu.
Sinar Harian memaklumkan sedang menjalankan siasatan dalaman untuk mengenal pasti sekiranya terdapat unsur sabotaj.
Menjelaskan berhubung kesilapan itu, ujarnya, semakan awal mendapati kesilapan tersebut berpunca daripada tindakan seorang staf di Unit Media Sosial yang telah menggunakan template reka bentuk lama yang pernah digunakan dalam poster melibatkan Johari Abdul sebelum ini.
“Pihak kami mengakui berlaku kesilapan dalam penyiaran infografik tersebut dan sekali lagi memohon maaf kepada Ketua Polis Negara, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh masyarakat atas kekhilafan ini,” katanya.
Sementara itu, tambahnya, Sinar Harian memandang serius perkara tersebut dan akan terus mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan kawalan kualiti dan prosedur editorial diperkemaskan, demi menjamin ketepatan dan kredibiliti maklumat yang disampaikan kepada masyarakat.
Terdahulu, Sinar Harian dikecam banyak pihak susulan kesilapan menerbitkan infografik yang mengaitkan penyertaan Mohd Khalid dalam parti politik termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Berikutan itu, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh turut mengesahkan Mohd Khalid tidak pernah menjadi ahli PKR apatah lagi memegang sebarang jawatan dalam parti berkenaan.
Sinar Harian menerusi portal berita mereka sebelum ini juga sudah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan maklumat yang disiarkan di laman Instagram mereka.
PMX mahu tatakelola tanah diperkukuh, pencerobohan dibendung
Subsidi kerajaan turun 40 peratus, bantuan untuk rakyat melonjak
Muhyiddin gesa siasatan telus tragedi Irene Sofiya
Kerangka baharu bagi graduan hadapi dunia kerja era AI: MCMC
MYEG digantung, RM314 juta hasil kerajaan masih tertunggak
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum