Ketua UMNO Sepang, Noorazli Said.
“Hanya Tuhan tahu hati saya.”
Itu penegasan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said selepas permohonan maafnya susulan kontroversi ‘jenaka’ berkaitan paderi dan biarawati dipersoalkan seorang pemimpin DAP.
Noorazli menegaskan permohonan maaf itu dibuat dengan ikhlas dan beliau tidak pernah berniat menghina penganut Kristian, paderi atau biarawati.
Katanya, tiada pihak boleh menentukan sama ada permohonan maaf seseorang itu ikhlas atau sebaliknya kerana hanya Tuhan mengetahui apa yang tersirat dalam hati manusia.
“Apakah kedudukan pemimpin DAP untuk menentukan apa yang ikhlas dan apa yang tidak ikhlas? Hanya Tuhan yang mengetahui apa yang tersirat dalam hati manusia,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata, dirinya tidak mempunyai masalah untuk menerima teguran berhubung perkara itu, termasuk mengakui rujukannya kepada Mazmur 129 dalam Bible ketika menyampaikan ucapannya sebelum ini adalah tidak tepat.
“Sekiranya apa yang saya sampaikan telah melukakan hati masyarakat Kristian, saya memohon maaf. Itulah pendirian saya,” katanya.
Dalam hantaran sama, Noorazli turut memetik beberapa ayat Bible berkaitan kebaikan, belas kasihan dan sikap saling memaafkan.
Beliau menggesa pihak yang mengkritiknya supaya tidak terus menghukum dirinya selepas permohonan maaf dibuat.
“Janganlah kita bercakap mengenai kasih dan toleransi pada satu ketika, kemudian apabila seseorang menghulurkan permohonan maaf, kita pula berlumba-lumba menjadi hakim kepada keikhlasan hatinya.
“Kalau setiap permohonan maaf mesti terlebih dahulu melepasi penilaian politik sebelum boleh diterima, sampai bila masyarakat kita mahu berdamai?” katanya.
Kontroversi tercetus susulan ucapan Noorazli pada Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu yang mengandungi jenaka berkaitan seorang paderi dan biarawati.
Kenyataan itu mengundang kecaman serta laporan polis, selain beberapa pemimpin politik menggesanya supaya memohon maaf.
Antara yang menyuarakan tuntutan itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, Bendahari UMNO Sabah, Salleh Said Keruak dan Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau.
Noorazli sebelum ini berkata beliau ‘sedia memohon maaf’ jika kenyataannya menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Beberapa jam kemudian, beliau meminda hantaran Facebook itu dan menyatakan permohonan maaf secara terus.
Bagaimanapun, ADUN Bilut daripada DAP, Lee Chin Chen mempersoalkan pendirian tersebut dengan menyifatkan tawaran untuk memohon maaf jika ada pihak menganggap jenaka itu menyinggung perasaan sebagai berbeza daripada permohonan maaf sebenar.
Noorazli berkata beliau tidak meminta orang ramai melupakan perkara yang berlaku, sebaliknya mahu mengambil pengajaran dan bergerak ke hadapan dengan menghormati semua agama.
“Saya memilih untuk mengambil pengajaran daripada perkara ini dan bergerak ke hadapan dengan rasa hormat kepada semua agama kerana agama saya mengajarkan kasih sayang, toleransi dan saling memaafkan.
“Dan saya berharap mereka yang mengkritik saya juga bersedia melakukan perkara yang sama,” katanya.
Muda bidas BN gopoh umum peletakan jawatan MB Negeri Sembilan
UMNO mahu penjelasan isu minit Lembaga Pengampunan Najib yang bocor
Mat Maslan perlu minta maaf secara terbuka di Dewan Rakyat, gesa AMK Johor
Minit rahsia dedah bantahan AG, menteri terhadap tahanan rumah Najib: Bernama
Kontroversi pantun ‘kencing’, Mat Maslan tampil mohon maaf kepada PMX
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron