Kes saman fitnah Khairy terhadap Jamal.
Kes saman fitnah melibatkan Khairy Jamaluddin dan Jamal Md Yunos berakhir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas Jamal membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap bekas menteri kesihatan itu.
Permohonan maaf tersebut dibacakan di hadapan hakim sebagai sebahagian daripada penghakiman persetujuan yang direkodkan oleh Hakim Anand Ponnudurai.
Dalam kenyataannya, Jamal mengakui dakwaan yang dibuat terhadap Khairy sebelum ini adalah tidak benar, tidak berasas dan tidak disokong bukti mencukupi.
“Saya sesungguhnya kesal atas penerbitan dan penyebaran kenyataan-kenyataan tersebut yang telah menyebabkan gangguan, penghinaan awam dan kerosakan kepada reputasi, nama baik serta kredibiliti Khairy,” katanya di mahkamah.
Beliau turut menarik balik sepenuhnya kenyataan yang dibuat semasa sidang media ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada Januari tahun lalu.
Sebelum ini, Jamal didakwa mengaitkan Khairy dengan perbuatan rasuah serta menuduh beliau membayar perwakilan untuk melakukan tindakan “boo” semasa perhimpunan parti itu.
Dakwaan tersebut mencetuskan kontroversi besar dalam UMNO ketika parti berdepan ketegangan dalaman selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Khairy kemudian memfailkan saman fitnah pada Mei 2023 dengan mendakwa kenyataan berkenaan menjejaskan reputasi dan kredibilitinya sebagai pemimpin politik.
Dalam penghakiman persetujuan itu, Jamal turut mengakui kenyataannya memberi gambaran bahawa Khairy seorang yang tidak berintegriti dan terlibat dengan amalan rasuah, sedangkan perkara itu “tidak benar sama sekali”.
Beliau juga bersetuju memadam semua rakaman video serta penerbitan berkaitan daripada akaun media sosial miliknya termasuk Facebook dan TikTok supaya ia tidak lagi boleh diakses orang awam.
“Saya memohon maaf kepada Khairy atas segala kesulitan, tekanan dan kerosakan reputasi yang timbul akibat kenyataan tersebut,” katanya lagi.
Selain itu, Jamal turut memberi jaminan tidak akan mengulangi atau menerbitkan semula kenyataan sama terhadap Khairy pada masa akan datang.
Bersatu jawab kritikan PAS, tegaskan semua isu patut dibincang dalam gabungan
DAP sokong cadangan bubar DUN Negeri Sembilan
Rafizi berisiko kalah kerusi Pandan sama seperti di Gombak: AMK Pulau Pinang
AMK desak wakil rakyat PKR jelaskan kehadiran semasa program Rafizi
Tengku Zafrul diberi peranan baharu jaga kerusi Parlimen Pandan: Amiruddin
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi