Pengerusi Parti Amanah Selangor, Izham Hashim.
Islam bukan hak mana-mana parti politik, termasuk PAS, sebaliknya ajaran agama itu menjadi panduan untuk seluruh manusia, kata Pengerusi Parti Amanah Selangor, Izham Hashim.
Beliau berkata, kecenderungan menyamakan Islam dengan PAS bukan perkara baharu, malah sudah berlaku sejak sekian lama sehingga wujud tanggapan seolah-olah Islam dan PAS adalah perkara sama.
Menurutnya, parti politik hanya muncul selepas agama Islam, justeru tidak wajar mana-mana parti mendakwa mempunyai hak eksklusif terhadap agama tersebut.
“Islam ini sebenarnya pun tak boleh ditonggang, sepatutnya ia dijunjung. Dia di atas, sepatutnya memayungi kehidupan kita.
“Islam ini bukan hak orang PAS sahaja, ia untuk seluruh manusia,” katanya menerusi Podcast Semak Episod 4 yang disiarkan di Facebook beliau pada Ahad.
Izham berkata, perjuangan berlandaskan Islam sememangnya perlu dilihat sebagai tuntutan agama, namun ia tidak sepatutnya disertai dakwaan seseorang mempunyai kuasa menentukan siapa yang bakal mendapat tempat di syurga.
Katanya, soal syurga dan neraka merupakan ketentuan ALLAH dan manusia hanya mampu berusaha melaksanakan tuntutan agama serta berdoa agar mendapat rahmat-Nya.
“Baguslah dia cakap kena berjuang, ikut dan memenuhi syarat sebagai orang Islam untuk masuk syurga.
“Tapi takkanlah nak sebut pasti masuk syurga. Itu bukan kerja kita. Jaminan masuk syurga adalah daripada ALLAH sendiri,” katanya.
Beliau turut menyindir pihak yang seolah-olah mengambil peranan sebagai penentu kelayakan seseorang ke syurga dengan mengibaratkannya seperti pegawai imigresen.
“Tak boleh kita nak jadi pegawai imigresen pula apabila hendak masuk syurga,” katanya.
Kenyataan itu muncul ketika wacana mengenai politik Islam terus menjadi antara isu yang sering mencetuskan pertembungan antara parti politik Melayu-Islam.
Dalam konteks politik Malaysia, PAS sejak sekian lama membawa imej sebagai parti yang memperjuangkan agenda Islam, manakala Amanah turut meletakkan pendekatan politik berteraskan nilai Islam sebagai antara asas perjuangannya.
Izham menegaskan, perbezaan politik tidak seharusnya menyebabkan mana-mana pihak menganggap hanya kelompok tertentu mempunyai kedudukan lebih tinggi dalam soal agama.
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum