Kapal kedua lepasi Selat Hormuz dijangka tiba hujung minggu ini: Fahmi

April 20, 2026 · Isu semasa

Sebuah lagi kapal Malaysia yang membawa bahan api dan berjaya melalui Selat Hormuz dijangka tiba selewat-lewatnya hujung minggu ini, sekali gus mengukuhkan bekalan minyak mentah negara.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ketibaan kapal kedua itu menyusuli penghantaran pertama pada 17 April lalu yang membawa kira-kira satu juta tong minyak mentah.

“Ini akan menjamin stok bekalan minyak mentah untuk diproses di beberapa loji penapisan dalam negara, sekali gus memastikan bekalan terutama bagi Petroliam Nasional Berhad mencukupi sehingga hujung Jun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan sistem BUDI MADANI RON95 dan diesel di Pagoh.

Selat Hormuz, laluan strategik yang menghubungkan Teluk Parsi ke pasaran global, sering menjadi tumpuan dunia kerana peranannya sebagai antara laluan utama penghantaran minyak mentah.

Sebarang gangguan di kawasan itu boleh memberi kesan langsung kepada harga dan bekalan tenaga global, termasuk Malaysia yang bergantung kepada import dan pengurusan stok strategik.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan kerajaan mengambil perhatian terhadap permintaan beberapa pihak agar kuota subsidi BUDI95 dikembalikan.

Namun, beliau menegaskan pelarasan kepada 200 liter sebulan adalah langkah sementara.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa pelarasan ini hanya bersifat sementara sehingga bekalan bahan mentah minyak kembali stabil,” katanya.

Beliau turut memaklumkan isu bekalan bahan api dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada masa terdekat.

Sementara itu, bekalan minyak di 639 stesen di Johor dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang gangguan setakat ini.

Mengulas lawatan kerjanya ke Johor, Fahmi berkata beberapa inisiatif sedang dilaksanakan termasuk kerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi meningkatkan liputan internet sepanjang jajaran landasan Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Selain itu, beliau turut melancarkan Kempen Internet Selamat di Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh, sebagai usaha memperkasakan belia menghadapi cabaran dunia digital, serta menyampaikan watikah pelantikan kepada 150 Ketua Komuniti MADANI bagi memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan di peringkat akar umbi.

Berita berkaitan
PH mahu menang atas kekuatan sendiri, bukan kelemahan lawan: Fahmi
14 jam lalu· Politik
Program Ziarah Kasih: Fahmi santuni warga emas, pesakit terlantar di Seri Menanti
15 jam lalu· Isu semasa
62 NADI Negeri Sembilan tawar latihan AI percuma
15 jam lalu· Isu semasa
Hubungan diplomatik baik, politik stabil jamin bekalan tenaga: PMX
15 jam lalu· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
June 12, 2026 · Isu semasa
Kerajaan tak kompromi perangi rasuah, SPRM terus diperkasa
June 11, 2026 · Isu semasa
J-KOM buat laporan polis terhadap Albert Tei buat kecoh di kementerian
June 11, 2026 · Isu semasa
Kadar pengangguran naik sedikit pada April: DOSM
June 11, 2026 · Isu semasa
Agong tarik balik gelaran ‘Tan Sri’ dianugerah kepada Isa Samad
June 11, 2026 · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok