Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menafikan dakwaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengenai wujudnya tawaran daripada wakil negara itu untuk membantu menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ketua Kedutaan AS di Kuala Lumpur, David H Gamble Jr, berkata Washington tidak pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia.
“AS tidak pernah mencuba untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia. Sebarang dakwaan sebaliknya adalah palsu,” katanya dalam kenyataan dipetik laporan Malaysiakini.
Dakwaan itu dibuat Abdul Hadi ketika ucapan penggulungan pada Muktamar PAS ke-72 di Kota Bharu, semalam.
Menurutnya, perkara itu berlaku ketika PAS masih menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat dan ketika salah satu lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama, ke Malaysia.
Abdul Hadi berkata beberapa pemimpin PAS ketika itu dijemput menghadiri satu acara di Kedutaan AS di Kuala Lumpur, termasuk Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan Ahmad Samsuri Mokhtar yang ketika itu menjadi setiausaha politiknya.
Beliau berkata, dalam pertemuan itu, seorang wakil AS bertanyakan siapa yang dicadangkan PAS sebagai perdana menteri.
“Dia tanya, ‘Siapa PAS cadang jadi perdana menteri?’
“Saya kata, ‘Siapa Amerika setuju?’
“Tergamam dia!
“Saya jawab, ‘Amerika setuju siapa dia? Amerika sokong siapa dia?’” katanya.
Obama mengadakan dua lawatan rasmi ke Malaysia pada 2014 dan 2015 ketika Najib Razak menjadi perdana menteri.
Lawatan itu berlangsung sebelum perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 yang menyaksikan BN kehilangan kuasa selepas lebih enam dekad.
Takiyuddin kemudian mengesahkan dakwaan Abdul Hadi, dengan berkata wakil kedutaan ketika itu turut bertanyakan sama ada PAS merancang menjatuhkan kerajaan BN.
“Jadi, kami tak bagi apa-apa keputusanlah, lantas kita tidak mengharapkan campur tangan daripada negara-negara luar,” katanya.
Takiyuddin turut menegaskan PAS tidak mengharapkan campur tangan asing dalam politik Malaysia.
Dakwaan berkenaan bagaimanapun mengundang gesaan supaya perkara itu disiasat.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mempersoalkan mengapa perkara itu tidak dilaporkan kepada Najib, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar atau pihak keselamatan sekiranya ia benar-benar berlaku.
“Ini adalah isu keselamatan negara dan bukannya sesuatu yang boleh dibanggakan secara sambil lalu dalam sebuah muktamar parti,” katanya.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pula meminta Abdul Hadi, Takiyuddin dan Samsuri menjelaskan sama ada pertemuan itu pernah dilaporkan kepada pihak berkuasa.
“Hadi sudah membuat dakwaan. Sekarang kemukakan bukti. Kedaulatan negara bukan modal ceramah,” katanya.
Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan turut mempersoalkan hubungan PAS dengan pegawai AS ketika itu.
Beliau berkata PSM pernah menolak jemputan bertemu Obama kerana tidak bersetuju dengan dasar luar AS.
Belanjawan 2027: Bantuan rakyat perlu disusuli peningkatan pendapatan
PKR lapor polis isu sindiran ayat al-Quran oleh Eric See-To
Akmal kecam sindiran Eric See-To terhadap istilah ‘lighad’, jangan perlekeh al-Quran
Mat Sabu: Jadikan krisis Negeri Sembilan pengajaran buat pengundi PRN Melaka
Parlimen: 19 kes DNAA libatkan 12 ahli politik sejak 2010
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum