Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Kerajaan sedia menyemak semula senarai barangan keperluan tertentu dalam peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekiranya memerlukan perhatian lanjut, kata Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri memberi jaminan peluasan skop SST yang bakal dilaksanakan tidak akan membebankan golongan bawahan atau M40 dan penjelasan kepada rakyat dibawah akan diberikan bagi mengelak kekeliruan.
“Kerajaan mengakui berlaku kekeliruan pelaksanaan itu, namun apa yang pasti inisiatif dilakukan kerajaan tidak akan membebankan golongan M40.
“Kita akan bagi penjelasan. Kadang-kadang, kenyataan umum macam itu, kata pisang akan dikenakan SST, jadi orang keliru, sebenarnya pisang import.
“Tapi saya setuju kita akan perjelaskan kerana yang penting kita tidak mahu membebankan golongan bawahan atau pun M40.
“Sebab itu, kita cadangkan macam buah-buahan import, tetapi ada yang mengatakan buah import pun ada yang dimakan oleh orang miskin, tetapi saya fikir itu boleh kita tangani, maknanya carilah kaedah, makanlah buah tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden PKR hari ini di Johor Bahru.
Anwar mengulas mengenai kekeliruan rakyat selepas senarai barangan yang dikenakan SST dikeluarkan, baru-baru ini.
Ditanya sama ada pelaksanaan semakan SST itu dikaji semula, Anwar menafikannya namun memberitahu, tiada masalah untuk mengubah beberapa perkara yang dibangkitkan.
“Tak, tak, tak (kaji semula), kita akan bagi penjelasan, yang diperlukan, yang agak mengelirukan itu, macam orang marah, dia kena baca dulu senarai. Jadi, saya cadangkan kita baca dulu.
“Kalau perlu satu dua perkara ubah suai, tiada masalah, kita boleh ubah suai, tetapi cukai ni memang tidak mudahlah. Semua orang kalau boleh tak mahu bayar.
“Tetapi, kita nak tingkatkan sekolah, pendidikan, orang miskin, hospital,” jelasnya.
Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.
Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.
Skop cukai perkhidmatan akan diperluaskan merangkumi enam perkhidmatan baharu seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Sebelum ini, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Ameer Ali Mydin menyifatkan keputusan untuk melaksanakan SST ke atas buah-buahan import sebagai tidak rasional kerana turut memberi kesan kepada pengguna berpendapatan rendah.
Rizab BNM cecah AS$126.9 bilion
Pelan baharu tangani kos sara hidup dilancar tahun ini: Armizan
Pelabur asing terus beli saham tempatan, aliran masuk cecah RM15 juta
Adam pertahan sekatan perjalanan peminjam PTPTN
Ringgit kekal stabil sekitar paras RM3.94 berbanding dolar: Bernama
Kerajaan tegas pantau kandungan AI berbahaya: Nie Ching
[VIDEO] Menteri Pertahanan beri penjelasan isu rasuah ATM di Parlimen