Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim.
PAS dibidas sebagai hipokrit kerana menganjurkan himpunan ‘Turun Anwar’ demi semata-mata kebencian terhadap Anwar Ibrahim, kata Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kumpulan yang beria-ria menganjurkan himpunan tersebut berlandaskan fakta atau angka yang sahih, sebaliknya dipacu sentimen politik kebencian semata-mata.
“Cuba tanya siapa yang menganjurkan himpunan ini? Ada sesiapa yang benar-benar menyokong Perdana Menteri? Tidak ada.
“Semuanya datang daripada kelompok yang benci. Ini bukan soal ekonomi atau kebajikan rakyat, ini soal kebencian terhadap Anwar Ibrahim,” katanya dipetik laporan BH.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, sekiranya benar pihak berkenaan mahu membincangkan kedudukan ekonomi negara, maka ia perlu disandarkan kepada data dan angka rasmi seperti kadar pertumbuhan ekonomi, inflasi, pelaburan asing serta tahap pengangguran.
“Kalau kita tanya pemimpin seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Hamzah Zainudin, apa pun yang kerajaan buat, tetap dianggap tidak baik.
“Usaha penghapusan miskin tegar contohnya, walaupun ia memberi manfaat, mereka tetap memperlekehkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh soal penyasaran subsidi bahan api yang sudah lama dibangkitkan oleh pelbagai pemimpin sebelum ini, termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin sendiri, namun tiada siapa yang berani melaksanakannya.
“Hari ini apabila Perdana Menteri berani buat, mereka pula kritik. Ini semua memperlihatkan sikap hipokrit dalam kalangan ahli politik kita.
“Mereka tidak konsisten dan hanya menentang demi menentang, bukan kerana dasar itu tidak baik,” katanya.
Tambahnya, dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global, termasuk cabaran tarif daripada Amerika Syarikat (AS), sepatutnya semua pihak tampil memberi cadangan dan solusi, bukannya menghasut rakyat untuk menjatuhkan pemimpin tanpa sebarang alternatif.
“Hari ini mereka mahu turunkan Anwar, esok nak buat apa? Belanjawan alternatif pun tak ada. Cadangan ekonomi pun tak ada.
“Jadi ini sekadar mimpi politik yang tidak berpijak di bumi nyata,” katanya.
Fuziah: Jangan gopoh adakan PRU-16 hanya kerana kepentingan politik
PAS dicabar tarik balik Amanat Hadi, ramai orang UMNO masih tersinggung
Anwar: PRU-16 awal? Tunggu masa sesuai
Pelantikan Ketua Audit Negara perlu bebas campur tangan politik: Syahredzan
PAS-UMNO makin terbuka, hantar wakil hadir ke PAU
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum