Kota Madani bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman bagi menampung lebih 30,000 penduduk dan akan dibina secara vertikal berintensiti tinggi.
Dianggarkan perbelanjaan bagi pembangunan Kota Madani sekitar RM4 bilion yang akan dibiaya melalui model Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
Kerajaan melantik Putrajaya Holdings sebagai pemaju utama bagi membangunkan projek seluas 41.28 hektar di Presint 9 itu nanti.
Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud dilaporkan berkata setiap kos pembinaan akan dijalankan secara terperinci bagi memastikan perbelajaan secara optimum dan tidak membazirkan wang rakyat.
“Pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri, akan meneliti secara terperinci kos pembangunan yang mana semua perbelanjaan perlu melalui proses tertentu, termasuk penilaian nilai.
“Kerajaan sentiasa menekankan aspek penjimatan, namun matlamat menyediakan kemudahan, khususnya kepada penjawat awam dan mereka yang bekerja di Putrajaya, tetap menjadi keutamaan,” katanya dalam sesi taklimat media Kota Madani hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa fasa pertama Kota Madani melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menengah, dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.
Kota Madani bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman bagi menampung lebih 30,000 penduduk dan akan dibina secara vertikal berintensiti tinggi.
Reka bentuk projek ini mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI), prasarana digital berkecekapan tinggi dan sistem mobiliti hijau.
Dalam pada itu, Fadlun menjelaskan bahawa Putrajaya Holdings akan membuka tender untuk melantik kontraktor dan pihak berkepentingan dalam projek berkenaan dalam masa terdekat.
Menurutnya, keutamaan diberi kepada penyiapan Fasa 1 berlandaskan model Bina–Pajak–Selenggara–Pindah (BLMT) bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan.
“Oleh itu, kerajaan tidak menanggung secara langsung kos penyelenggaraan kuarters, sebaliknya ia dibiayai dalam tempoh jangka panjang seperti yang ditetapkan.
“Tempoh bayaran balik juga akan ditentukan oleh UKAS,” ujarnya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa nama Kota Madani dikekalkan, selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Anwar.
“Konsep Bandar CHASE (Bersih, Sihat, Maju, Selamat dan Mesra Alam) telah digarap secara menyeluruh, sebagaimana diperkenalkan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan.
“Jadi, tiada kaitan dengan dakwaan bahawa nama itu akan ditukar sekiranya kerajaan bertukar suatu hari nanti, kerana konsep yang diterapkan dalam projek Kota Madani ini adalah menyeluruh dan tidak hanya menggambarkan kerajaan semasa.
“Sekiranya konsep ini berjaya dilaksanakan di Putrajaya, ia mungkin akan diperluaskan ke lokasi lain,” katanya.
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
Tiga maut dilanggar lori imigresen terbabas: Polis tahan dua pemandu
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri