
Ramai melihat isu kebocoran rakaman mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sebagai masalah disiplin atau pelanggaran protokol.
Tapi itu hanya kulit luar. Masalah sebenar lebih dalam. Ia tentang kegagalan kepimpinan di kemuncak sistem kehakiman negara.
Ketua Hakim Negara, yang juga mengetuai JAC, kini berdepan krisis kepercayaan yang semakin terbuka.
Dalam kalangan JAC sendiri, perpecahan makin ketara. Suara-suara tidak puas hati bukan lagi khabar angin, malah sudah menjadi bualan umum dalam kalangan pengamal undang-undang. JAC yang sepatutnya menjadi badan bebas dan dihormati kini dilihat lemah, berpecah dan mudah dipengaruhi oleh kecenderungan peribadi.
Kalau semua ini dilihat sekadar insiden terpencil, kita sengaja menutup mata terhadap kerosakan institusi. Realitinya, kekusutan yang berlaku dalam JAC mencerminkan situasi dalam Mahkamah Persekutuan. Pergolakan dalaman yang sebelum ini bersifat tertutup kini mula terdedah.
Isu terbesar adalah berkenaan Doktrin Struktur Asas (Basic Structure Doctrine). Doktrin ini dibawa masuk dari India dan kini menjadi punca perbalahan antara hakim.
Satu pihak percaya mahkamah boleh membatalkan pindaan Perlembagaan jika dianggap melanggar struktur asas. Pihak lain berhujah bahawa kuasa pindaan adalah hak Parlimen, bukan mahkamah.
Ketua Hakim Negara memilih untuk memihak secara terbuka. Malah dipercayai hanya melantik atau menaikkan hakim yang berkongsi pendirian yang sama. Hakim yang mempersoal atau tidak bersetuju dengan doktrin ini dikatakan diketepikan. Akibatnya, proses pelantikan hakim semakin dicurigai.
Apa yang sepatutnya dilakukan secara musyawarah kini semakin dilihat sebagai keputusan individu. Dalam suasana ini, sukar untuk mempertahankan maruah institusi kehakiman. Bila pemilihan hakim dianggap berpaksikan kesetiaan, bukan merit dan prinsip, kepercayaan rakyat mula terhakis.
Tugas Ketua Hakim Negara bukan sekadar mengetuai mahkamah. Beliau juga bertanggungjawab memastikan perpaduan dalam kalangan hakim, menjamin ketelusan JAC dan memelihara integriti seluruh sistem kehakiman. Tapi apabila semua itu gagal, maka krisis ini bukan lagi krisis dalaman. Ia sudah menjadi krisis perlembagaan.
Kini, hanya dua jalan terbuka. Pertama, Ketua Hakim Negara harus tampil memberikan penjelasan. Bukan melalui kenyataan umum yang longgar, tetapi penjelasan telus tentang bagaimana institusi di bawah pimpinannya boleh jadi sebegini rapuh.
Kedua, Parlimen perlu segera menilai semula Akta JAC 2009. Struktur pelantikan hakim perlu dirombak agar tidak boleh dikuasai oleh satu individu sahaja.
Sistem kehakiman tidak dimiliki oleh seorang hakim, tidak juga oleh satu ideologi. Ia milik seluruh rakyat Malaysia. Bila rakyat hilang kepercayaan kepada mahkamah, keadilan pun turut hilang maknanya.
*Penulis bukan sekadar peguam litigasi. Tulisannya tentang undang-undang, kuasa dan kebenaran menggugah diam, mencabar nyaman dan tidak pernah tunduk pada mana-mana kuasa.
Berita tepat dan menyeluruh.